Meskipun kes baharu semakin berkurang setiap hari namun Kementerian Kesihatan (KKM) tetap meneruskan ujian pengesanan  Covid-19 dalam kalangan komuniti.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Meskipun kes baharu semakin berkurang setiap hari namun Kementerian Kesihatan (KKM) tetap meneruskan ujian pengesanan  Covid-19 dalam kalangan komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengesanan jangkitan baharu wabak berkenaan dilakukan melalui sistem survelan klinikal seperti pengesanan Severe Acute Respiratory Infection (SARI).

Menurut beliau, terdapat penemuan dua kes baharu positif Covid-19 telah berjaya dikesan menerusi kaedah berkenaan.

“Pada hari ini, sistem survelan ini telah mengesan dua kes positif yang merupakan warganegara Malaysia.Sehingga 10 Julai 2020 sebanyak 20,897 sampel telah diambil dan sebanyak 79 kes postif Covid-19 didapati,” kata beliau.

Jelas beliau sistem survelan dalam negara berjaya mengesan kes jangkitan baharu kerana kapasiti dan kapabilitinya yang baik.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan operasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS Serdang akan tamat pada 15 Julai ini.

Ini susulan pesakit terakhir telah discaj hari ini selepas berada dalam pemantauan selama 14 hari dan disahkan pulih daripada wabak itu selepas menjalani ujian.

“Pesakit terakhir ini, beliau tidak bergejala dan dikesan selepas wanita itu menjalani ujian saringan untuk kembali ke tempat kerja, dua minggu lalu,” kata Hisham ketika sidang media hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba telah menyaksikan proses discaj pesakit terakhir di pusat kuarantin tersebut hari ini. -MalaysiaGazette