Keadaan kenderaan yang membawa Vikas Dubey ketika terbalik. foto Agensi

NEW DELHI – Polis memaklumkan telah menembak mati seorang lelaki yang didakwa membunuh lapan anggota polis di Uttar Pradesh.

Vikas Dubey, yang diburu hampir seminggu selepas insiden tersebut, ditahan di kejiranan di negeri Madhya Pradesh.

Tetapi semasa dalam perjalanan membawa Dubey balik ke Uttar Pradesh, kenderaan yang membawanya terbalik.

Dubey ditembak selepas dia dilaporkan merampas pistol dan cuba melarikan diri.

Ketua Polis, Mohit Agarwal mengesahkan kematiannya.

Katanya, polis melepaskan tembakan ke arah lelaki itu setelah dia enggan menyerah diri dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

Polis memaklumkan Dubey ditangkap secara dramatik dari sebuah kompleks kuil di Madhya Pradesh.

Tetapi parti pembangkang mendakwa suspek memilih untuk menyerah secara terbuka di kuil itu setelah berjaya melepaskan diri dari polis selama lebih seminggu.

Beberapa laporan pula mendakwa Dubey telah meminta pengawal kuil menelefon polis.

Pemimpin pembangkang sebelum itu menggesa polis memastikan keselamatan Dubey bagi membolehkan dia dibicarakan.

Susulan kematiannya, pengguna media sosial mempersoalkan tindakan polis sehingga lelaki itu terbunuh. – MalaysiaGazette