Datuk Saifuddin Abdullah

SEBAGAIMANA umum ketahui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menggalakkan amalan kebebasan media.

Malah beliau sering meminta pengamal media supaya memberi maklumat sahih kepada pihak pentadbirannya.

Bagaimanapun, tindakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang ‘menghukum’  pengamal media tempatan yang menyatakan pandangannya Al Jazeera itu Al Jahiliah rentetan dokumentari media itu yang bertajuk Locked Up di Malaysia’s Lockdown, jelas bertentangan dengan prinsip Muhyiddin dan dikecam ramai.

Pertamanya, tindakan Saifuddin seakan-akan sabotaj kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Muhyiddin yang menggalakkan kebebasan media.

Keduanya, latar belakang politik Saifuddin iaitu bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) – parti yang amat dikatakan bersekongkol dengan media asing untuk menjatuhkan kerajaan sebelum ini.

Lihat sahajalah pemimpin parti itu yang menggunakan media asing dalam memberi serangan bertubi-tubi terutama kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Persoalannya, adakah Saifuddin masih terikut-ikut sikap lama pemimpin pembangkang itu.

Ketiganya, menteri itu seakan-akan menghina pula wartawan tempatan yang seolah-olah memberi pandangannya yang jelas selari dengan majoriti rakyat di negara ini bahawa laporan Al Jazeera berat sebelah dan memburukkan Malaysia.

Jika wartawan itu melakukan perkara tersebut di zaman pentadbiran Pakatan Harapan sudah tentu akan ditangkap dan didakwa seperti yang berlaku sebelum ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin dinasihatkan berjaga-jaga kerana ia seperti tindakan api dalam sekam dan musuh dalam selimut.

Sepatutnya menteri berterima kasih kepada media yang mendedahkan ‘kejahatan’ Al Jazeera malah semua yang berakal tahu jika tidak ada dalangnya dalam negara ini mana-mana media asing tidak berani pun membuat laporan palsu terhadap Malaysia. – MalaysiaGazette

Wan Noor Hayati Wan Alias bekas wartawan Berita Harian.

 

2 Komen

  1. Patut nya sebagai menteri kominikasi beliau kena lah mengarahkan pihak unifi atau telekom Malaysia menghentikan siaran Al jazirah dalam program unifi. Jim Kita boikot program Al jahilya banyak lagi new channel Berita yang menyalurkan laporan seimbang seperti DW atau pun CGTN.

  2. Jenis menteri puak liberal ni tak boleh pakai. Hari tu dah lantik liberal dap wakil ke asean. Sekarang buat hal lain pulak. Kalau tak berubah perangai pru jangan harap lah.

Comments are closed.