Contoh bil terperinci bulan Julai yang akan dihantar kepada para pengguna kediaman.

KUALA LUMPUR – Para pelanggan kediaman Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan dapat melihat butiran manfaat Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) bagi bulan April, Mei dan Jun menerusi Penyata Terperinci yang akan dikeluarkan pada Julai ini.

Ia membabitkan penggunaan elektrik percuma sehingga RM231 atau RM77 sebulan.

Bukan itu sahaja, bahkan melalui bil terperinci itu, para pengguna juga dapat diskaun Rangsangan Ekonomi berdasarkan penggunaan elektrik bulanan bermula 1 April.

Kadar diskaun Rangsangan Ekonomi dari 2% hingga 50% itu akan dinikmati pengguna-pengguna sehingga 31 Disember ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, penyata tersebut akan diterima berserta bil Julai dalam masa tujuh hari selepas pembacaan meter itu dijalankan.

Selain daripada bil yang diterima, pengguna-pengguna juga boleh melihat Penyata Terperinci dan bil tersebut melalui laman sesawang serta aplikasi MyTNB selepas 48 jam menerima notis makluman tersebut.

Pembaca meter TNB menjalankan bacaan bulai Julai di premis-premis pelanggan mulai 3 Julai 2020 dan pelangan akan turut diberi notis makluman bahawa pembacaan telah pun dilakukan.

Bil terperinci TNB itu adalah seperti yang tertera di dalam gambar di atas.

Menurut TNB, pengguna yang telah terlebih membuat bayaran bagi bil-bila April, Mei dan Jun, lebihan itu akan dibawa ke bulan seterusnya.

Pada 20 Jun lalu, kerajaan dan TNB mengumumkan pemberian BPE sebagai pakej bantuan tambahan kepada 7.66 juta pelanggan domestik.

Ini menerusi pembiayaan penggunaan elektrik percuma sehingga RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April, Mei serta Jun, 2020 dan bantuan tersebut akan dinyatakan dalam bil sebenar.

Selain itu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sebanyak 601-900 kWj sebulan akan menikmati diskaun sebanyak 10 peratus iaitu tambahan 8 peratus daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak 2 peratus bermula April 2020 hingga September 2020.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai bil boleh dibuat menerusi talian TNB CareLine 1-300-88-5454 atau e-mel [email protected] atau di Kedai Tenaga berhampiran. – MalaysiaGazette