Harga ayam kembali stabil ekoran pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, di seluruh negara yang bermula hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 353 premis telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga 30 Jun lalu melibatkan 280 peruncit, 50 pemborong dan 23 pengeluar dan penternak ayam.

Pengarah Penguatkuasanya, Iskandar Halim Sulaiman berkata, berdasarkan jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 310 premis daripadanya telah dikemukakan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan maklumat awal kenaikan harga yang berlaku.

“Manakala sebanyak 286 daripada jumlah notis tersebut akan diteruskan pemeriksaan untuk mendapatkan perincian maklumat bagi tujuan siasatan di bawah pencatutan.

“Sehingga 10 Julai lalu, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka ke atas peniaga-peniaga ayam kerana disyaki melakukan kesalahan mencatut.

‘Mereka melibatkan empat peruncit Pasar Awam di Melaka serta empat pemborong iaitu satu satu di Melaka dan tiga di Kuala Lumpur serta siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua tindakan itu katanya, dilaksanakan selepas KPDNHEP menerima maklumat berhubung aduan orang ramai yang telah menyatakan berlakunya kenaikan harga ayam di Pasar-Pasar Basah Awam.

Menurut beliau, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan untuk mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang memulakan punca kenaikan tersebut serta mengesan sekiranya wujud aktiviti pencatutan di bawah perundangan AKHAP 2011.

“Tindakan pemeriksaan tersebut telah mula dilaksanakan pada 18 Jun 2020 oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP seluruh negara ke atas peruncit di Pasar-Pasar Awam, pemborong serta pengeluar ayam,” tegasnya.-MalaysiaGazette