Datuk Dr Adham Baba bersama pesakit terakhir yang didiscaj dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS, Serdang.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba menyaksikan proses pesakit terakhir didiscaj dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC), Serdang semalam sekaligus secara rasminya pusat ini akan menamatkan operasinya pada 15 Julai.

Perkembangan terbaharu PKRC Serdang itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebook.

PKRC Serdang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai salah satu langkah proaktif kerajaan dalam menangani pandemik penyakit Covid-19 di negara ini.

Mula beroperasi secara rasmi pada 16 April dan menerima pesakit pertama pada 21 April lalu  PKRC merupakan kolaborasi pelbagai agensi yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS, Serdang.

Agensi yang terlibat adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Markas Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara Malaysia, Malaysia Genome Institute dan MAEPS.

Sehingga 10 Julai 2020, PKRC telah berjaya merawat seramai 1,362 orang pesakit di mana majoriti adalah orang bukan warganegara (86 peratus) dan 14 peratus adalah warganegara Malaysia.

“Pihak KKM ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan daripada semua agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan perlaksanaan operasi pusat ini,” kata Noor Hisham.

– MalaysiaGazette