Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas menasihatkan Gerakan agar bersikap tenang, matang dan sejahtera dalam reaksi mereka terhadap hal berkaitan agama dan kaum lain di negara ini.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, kenyataan timbalan presiden parti itu, Oh Tong Keong dianggap sebagai tindak balas secara emosi dan keterlaluan terhadap kempen hari Jumaat sebagai Hari Jawi yang diumumkan kerajaan 10 Julai lalu.

Beliau berkata, sekalipun Gerakan mahu menerima perkara tersebut sebagai ‘perbezaan’, ia tidak harus didepani secara konfrontasi.

“Mari kita berwacana secara intelek dan harmoni, menghurai mengenai Jawi sebagai sebahagian budaya iaitu khat dan kaligrafi seni serta tradisi Malaysia.

“Lihat sejarah, penggunaan dan tujuannya yang menjadi sebahagian realiti hidup di negara ini.

“Kenapa mesti memilih sentimen, prejudis, perseteruan, sedangkan sebagaimana bahasa dan tulisan Cina dan Tamil, ia juga boleh menyatukan kita rakyat pelbagai kaum?” soalnya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Tong Keong dalam kenyataan Sabtu lalu menegaskan, parti itu mahu menentang habis-habisan jika orang bukan Islam disuruh mempelajari tulisan Jawi.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan perkara itu memberi hujah bahawa Perlembagaan Malaysia dengan jelas menetapkan Bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

“Mengapa menteri ini (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri) perlu membangkitkan isu penggunaan Jawi. Ini menunjukkan pihak sana (kerajaan PN) ada agenda yang lebih besar tersembunyi di belakang tabir,” kata Tong Keong.

Menurut Kamaruzaman, cukuplah rakyat mengambil iktibar 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang memberi pengajaran amat besar memarakkan api perbezaan berkait perkauman seperti itu akhirnya ‘membakar diri’.

Kata beliau, Pas percaya, Gerakan sedia mendengar, berdialog dan berunding untuk lebih memahami usaha diketengahkan menerusi kempen tersebut tanpa terbawa-bawa sikap keterlaluan yang ditunjukkan DAP terutamanya.

“Ada banyak aksara dan tulisan kaum di dunia ini, namun tidak ada yang memesongkan individu atau pihak lain dari asal usul dan pilihan kehidupan bebasnya.

“Parti Gerakan juga harus normal seperti itu,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak usah peduli cakap penyokong kafir. Tegakkan maruah Islam setinggi-tingginya. Kami dah tak mau bertolak ansur hal ini. Kalau mereka tak suka mereka boleh pindah negara.

Comments are closed.