Kementerian Belia dan Sukan

KUALA LUMPUR – Kemasukan semula pelajar Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi menyambung sidang akademik sesi pertama tahun ini akan dilaksanakan secara tiga peringkat bermula 20 Julai ini.

Kementerian Belia dan Sukan dalam kenyataan berkata, pelaksanaan secara berfasa mengikut tarikh-tarikh itu telah dipersetujui selepas dibentangkan cadangan kemasukan pelajar dalam Mesyuarat Penyelarasan Pengoperasian Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang telah diadakan pada 30 Jun lalu.

Kata KBS, ia bertujuan bagi menyelaras Garis Panduan Pengurusan ILKA Pasca PKPP bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Fasa pertama membabitkan pada 20 Julai ini iaitu kemasukan seramai 423 orang pelajar semester akhir program Elektrikal (Suruhanjaya Tenaga) dan pelajar program Diploma UTM di lapan buah ILKBS.

“Pada 1 September ini, seramai 609 orang pelajar semester akhir program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM3) yang sepatutnya menjalani Peperiksaan Akhir pada April 2020, di 15 buah ILKBS akan memasuki institut tersebut bagi peringkat kedua kemasukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah KBS, pelajar-pelajar berkenaan akan menduduki Peperiksaan Akhir pada 14 September ini.

Peringkat ketiga kemasukan pelajar pula adalah pada 28 September ini melibatkan 6,955 orang pelajar sambung Tahap yang sepatutnya menjalani Peperiksaan Akhir pada Jun 2020 dan juga pelajar-pelajar yang telah melengkapkan Latihan Industri (LI) di 22 buah ILKBS.

Sebut KBS lagi, bagi kemasukan pelajar baharu (sesi Julai 2020), pelajar akan mendaftar secara fizikal pada 4 Januari 2021 namun pra-pendaftaran bagi pembelajaran secara online akan bermula lebih awal iaitu pada 15 hingga 25 September ini tetapi hanya akan memulakan pembelajaran secara dalam talian mulai 1 Oktober hingga 3 Disember ini.

“Dalam tempoh ini, pelajar akan didedahkan dengan pengenalan asas mengenai ILKBS, kursus, sistem pelaksanaan latihan, peluang sambung belajar, peluang pekerjaan dan membuat mini projek.

“ILKBS akan beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berteraskan amalan 3W (Wash, Wear, Warn) dan mengelakkan 3S (Sesak, Sempit, Sembang Dekat-dekat). yang mana kesemua prosedur terpakai bagi semua aktiviti pengurusan institut yang merangkumi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), Pengurusan Asrama Pelajar dan Dewan Makan.

“Semua aktiviti di kampus dibenarkan kecuali sukan tertakluk mengikut SOP PKPP KBS ; aktiviti keagamaan secara berkumpulan/berjemaah tertakluk arahan kerajaan negeri; dan Perhimpunan dibenarkan mengikut kapasiti ruang serta pematuhan penjarakan sosial.

“KBS amat berharap agar pembukaan semula latihan kemahiran di ILKBS ini berjalan lancar bagi membolehkan pelajar-pelajar meneruskan pembelajaran dalam keadaan selamat,” tegas KBS.- MalaysiaGazette