Pep Guardiola bersama rakan rakan setugas di Etihad teruja ekoran keputusan rayuan di mahkamah timbang tara sukan yang memihak kepada mereka pagi ini.

ZURICH- Nasib Manchester City yang tergantung sama ada beraksi dalam kejohanan bola sepak antarabangsa khususnya Liga Juara-Juara Eropah musim 2020/21 akhirnya terjawab.

Ini kerana kes rayuan pasukan kendalian pengurusnya, Pep Guardiola yang mencabar keputusan penggantungan dua tahun oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) berpusat di Switzerland akhirnya memihak kepada mereka.

Mahkamah CAS dalam keputusan hari ini memerintahkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak melanggar Peraturan Keadilan Kewangan (FFP) seperti yang diputuskan dan dihukum oleh badan bola sepak antarabangsa itu menerusi Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA (CFCB) pada Februari lalu.

Bagaimanapun dalam keputusan kehakiman CAS memaklumkan Man City tidak menipu dalam pembiayaan ekuiti tetapi cuma gagal bekerjasama dengan UEFA.

Dengan keputusan itu denda 27 juta pound yang dikenakan oleh UEFA telah dikurangkan kepada sembilan juta pound sahaja.

Kegagalan bekerjasama tidak menjamin sebarang penggantunga atau larangan beraksi di peringkat antarabangsa, kata kehakiman mahkamah CAS.

Pada tahap ini sebarang permohonan mencabar keputusan CAS tidak dijangka daripada UEFA.

“Oleh kerana tuduhan penyembunyian dana ekuiti secara tidak jujur jelas merupakan perlanggaran lebih signifikan berbanding menghalang penyiasatan CFCB.

“Maka adalah tidak tepat melarang kelab bola sepak mengambil bahagian dalam pertandingan kelab UEFA kerana kegagalan MCFC bekerjasama dalam siasatan tersebut,” tegas keputusan kehakiman CAS lagi.

Man City dalam kenyataan tergempar meluahkan rasa kesyukuran dan mengalu-alukan keputusan yang akhirnya membolehkan kelab itu bersaing di kempen Liga Juara-Juara musim depan.

Kelab dalam kenyataan sama menjelaskan pasukan undang-undangnya belum meneliti sepenuhnya keputusan kehakiman CAS hari ini.

“Kelab mengucapkan setinggi penghargaan kepada panel hakim CAS yang mengadili rayuan kami secara bijaksana.

Sejurus selepas keputusan CAS keluar, UEFA tampil dengan kenyataan bahawa pihaknya sedia maklum keputusan kehakiman yang diputuskan CAS mengurangkan denda selain mengenepikan penggantungan dua tahun yang dijatuhkan CFCB Februari lalu.

“UEFA juga ambil maklum panel mahkamah mendapati tidak cukup bukti yang konklusif untuk mengekalkan hukuman yang dijatuhkan CFCB dalam kes spesifik berkenaan serta kebanyakan perlanggaran lain yang berlalu melangkaui masa.

“Semua pihak perlu sedar FFP memainkan peranan penting memastikan setiap kelab stabil dari segi pengurusan kewangan dan UEFA tetap komited dengan prinsip tersebut.

Dengan kedudukan tempat kedua dalam carta EPL, City secara automatik mara ke kempen liga Eropah.

Sementara keputusan berkenaan juga meranapkan peluang Chelsea dan Leicester City untuk merebut slot keempat dalam liga.

Namun Manchester United juga yang bersaing untuk kelayakan Liga Juara-Juara berpeluang mengakhiri saingan Liga di empat teratas serta ke Eropah jika menang kesemua baki perlawanan serta pada masa yang sama Leicester City dan Chelsea seri atau tewas satu perlawanan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Digantung UEFA: CAS tentukan nasib Man City Isnin ini