Rakaman video yang menunjukkan pesawat Ukraine dibedil oleh peluru berpandu pada 8 Januari 2020. foto Agensi

TEHRAN – Organisasi Penerbangan Awam Iran menyalahkan penyelarasan sistem radar dan kurangnya komunikasi antara pengendali pertahanan udara dan komandannya hingga mengakibatkan pesawat penumpang Ukraine ditembak jatuh pada Januari lalu.

Tragedi yang disifatkan ‘tidak disengajakan’ itu telah mengorbankan 176 orang.

Pengawal Revolusi Elit Iran menembak jatuh pesawat Ukraine International Airlines dengan peluru berpandu dari darat-ke-udara pada 8 Januari sejurus selepas pesawat itu berlepas dari Teheran.

Kejadian itu diakui Tehran sebagai “kesalahan bencana” oleh pasukan tenteranya yang sedang berjaga-jaga ekoran konfrontasi dengan Amerika Syarikat.

“Kesalahan dalam menyelaraskan sistem radar telah menyebabkan kesilapan manusia. Seorang pengendali lupa untuk mengembalikan arah pada sistem radar setelah beralih ke posisi baharu, kesalahan yang menyebabkan tersalah membaca data radar,” menurut laporan interim di laman web Pertubuhan Penerbangan Awam (CAO).

Laporan CAO yang diterbitkan pada malam Sabtu itu mengatakan bateri peluru berpandu yang mensasarkan pesawat penumpang telah dipindahkan dan ‘tidak menukarkan pemusatan dengan betul’.

Kejatuhan berlaku ketika ketegangan tinggi antara musuh lama – Iran dan Amerika Syarikat.

Iran ketika itu dalam keadaan berjaga-jaga selepas ia membedil penempatan tentera Amerika Syarikat sebagai tindak balas membunuh komander tentera, Qassem Soleimani pada 3 Januari lalu melalui serangan dron di Baghdad.

”Itu terjadi kerana kesalahan manusia,” kata laporan CAO, sambil menambahkan pesawat itu dikesan oleh sistem sebagai sasaran yang mendekati Teheran.

Pengendali sistem pertahanan udara “kurang mengetahui tentang penempatan semula unit pertahanan udara” dan tembakan kedua peluru berpandu itu tanpa izin daripada pusat komando, kata laporan itu.

“Ketika peluru berpandu pertama dilepaskan pesawat penumpang terbang pada ketinggian dan lintasan normal,” tambah laporan itu.

Bulan lalu, Iran memaklumkan kotak hitam pesawat Boeing 737-800 akan dihantar ke Perancis, untuk dianalisis mulai 20 Julai. – MalaysiaGazette