Murid-murid Tahun 5 dan 6 mula bersekolah esok.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Menjelang pembukaan semula sekolah esok, ibu bapa dan penjaga diminta memastikan hanya anak-anak yang sihat dihantar ke sekolah.

“Saya ingatkan semua pihak perlu ada kawalan sendiri dalam bersama-sama membantu menangani penularan Covid-19,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Esok, sesi persekolahan akan kembali dibuka secara berperingkat bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan peralihan serta murid Tahun 5 dan 6 di semua sekolah kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, semua sekolah sudah pun melakukan persiapan rapi dengan prosedur standard operasi (SOP) bagi menyambut kedatangan semula murid-murid.

Oleh itu, ibu bapa juga diminta memberi kerjasama sewajarnya.

Ismail sekali lagi mengingatkan walaupun kerajaan sudah mula memberi kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun rakyat di negara ini diingatkan jangan ambil mudah.

Semua rakyat di negara ini mempunyai tanggungjawab sesama sendiri untuk melindungi masyarakat.

Menurutnya, beberapa negara termasuk Hong Kong terpaksa mengenakan semula sekatan pergerakan dengan menutup sekolah dan aktiviti ekonomi disebabkan lonjakan kes jangkitan virus tersebut.

“Kita memerlukan kerjasama semua untuk memutuskan rantauan Covid-19, patuh semua SOP yang ditetapkan, jika kita tidak mahu kembali kepada pelaksanaan PKP.

“Teruskan kawalan kendiri kerana wabak ini masih berada di keliling kita,” katanya ketika memberi peringatan. – MalaysiaGazette