Saksi, Rayyan Radzwill Abdullah ketika hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor berikutan projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 14 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-15 kes rasuah pembekalan dan pemasangan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor membuat dakwaan mengejutkan hari ini.

Rayyan Radzwill Abdullah yang merupakan rakan perniagaan Saidi Abang Samsudin yang juga Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd berkata, ada perbincangan berkaitan peratusan ‘sumbangan politik’ untuk Rosmah dan bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Kata Rayyan, peratusan itu perlu diberikan kepada Rosmah sebagai bayaran rundingan kerana membantu mendapatkan kontrak solar hibrid secara rundingan terus untuk Jepak Holdings.

Bagaimanapun, dakwa Rayyan, Rosmah telah meminta bayaran sebanyak 15 peratus atau lebih tepat iaitu RM187.5 juta  daripada jumlah kontrak manakala Rizal pula meminta sebanyak RM5 juta untuk tempoh lima tahun.

Jelas Rayyan, dia dan Saidi terpaksa mendapatkan bantuan Rosmah melalui Rizal selepas gagal meyakinkan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk mendapatkan projek berbilion tersebut.

“Ketika saya dan Saidi dibawa ke Langgak Duta oleh Rizal sekitar Januari atau Februari 2016, Rizal telah memberi peringatan kepada Saidi untuk tawaran 10 peratus daripada nilai projek itu sebagai ‘sumbangan’ kepada Rosmah.

“Dalam pertemuan 10 minit, Saidi ada tawarkan 10 peratus itu yang kemudian dijawab balik oleh Rosmah ‘politik sekarang memang memerlukan banyak wang, kita tengoklah nanti’.

“Kemudian kami keluar dari rumah beliau.

“Pada sebelah petangnya, Rizal memberitahu jumlah sumbangan adalah sebanyak 15 peratus iaitu bersamaan dengan RM187.5 juta dan ianya muktamad. Selain itu, Rizal juga ada meminta bahagiannya sebanyak RM5 juta untuk tempoh lima tahun daripada Saidi. Saidi bersetuju,” katanya.

Rayyan membacakan keterangan itu dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini ketika prosiding masuk hari ke-16 hari ini.

Sebelum itu, Rayyan juga ada membuat pengecaman tertuduh iaitu Rosmah yang ketika itu sedang duduk di kandang bersalah.

Rayyan mendedahkan pada tahun 2015, Jepak Holdings telah memperoleh kontrak penyelenggaraan bekalan diesal dan set generator untuk 28 sekolah luar bandar di Sarawak dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketika itu, Saidi telah berbincang dengannya untuk menaik taraf genset ke sistem hibrid suria untuk projek itu dan mengajaknya bekerjasama dalam melaksanakan projek tersebut.

Rosmah didakwa telah menerima suapan rasuah daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan.

Namun pada 8 Januari lepas mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hahahaha..
    Rizal semasa jadi pegawaii khas ‘mem’ bukan main berlagak dan sombong. Sekarang hambik kau kaki kleptokrasi… Nasib baik bukti tak cukup kuat tapi rasuah tetap berlaku.
    Itu pemimpin umno kononnya pejuang rakyat tetapi pejuang tembolok sendiri….
    Hancur kau umno….

Comments are closed.