Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, menunjukkan rampasan dadah jenis pil erimin 5, kokain, methamphetamine dan ecstasy oleh warga tempatan yang berjaya ditumpaskan ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 14 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Tiga suspek sekeluarga termasuk seorang wanita yang dipercayai aktif dalam pengedaran dadah di Lembah Klang sejak tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjaya ditumpaskan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bertindak atas maklumat selama dua bulan, pasukan narkotiknya berjaya menahan kesemua suspek suami, isteri dan seroang anak berusia lingkungan 32 hingga 60 tahun pada serbuan jam 6.30 petang 9 Julai lalu.

“Polis narkotik telah menahan seorang lelaki menaiki motosikal Modenas putih berusia 60 tahun di tepi jalan dan hasil pemeriksaan di bakul kenderaan berjaya merampas pil eramin 5 sebanyak 21,400 biji atau seberat 5.7 kilogram beserta wang tunai RM1,140 dalam poket seluar suspek,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Mazlan, berrpandukan hasil siasatan terhadap suspek pertama berkenaan, serbuan dibuat di sebuah rumah di Jalan Connought di sini sebelum menjumpai seorang wanita berusia 56 tahun dan juga satu lelaki berusia 32 tahun dipercayai isteri dan anak suspek warga emas berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di rumah mereka polis berjaya menemui 400 biji pil Eramin 5 dan ujian air kencing mendapati ketiga-tiganya negatif.” katanya.

Tambah Mazlan, mereka ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman tujuh hari sehingga esok.

Ujar beliau, hasil risikan nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalab berjumlah RM328,000 manakala ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Malahan dalam satu lagi kejayaan kedua, polis bertindak atas maklumat pada 10 Julai lalu telah menahan sebuah kereta Mercedes Benz dinaiki dua lelaki Cina berusia 47 dan 44 tahun di Batu 5, Jalan Kelang Lama.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan berjaya menjumpai dadah jenis kokain seberat 3.278 kilogram bersama wang tunai RM500 dipercayai hasil urusniaga dadah.

“Semakan rekod kedua-dua suspek mendapati salah seorangnya yang berusia 44 tahun mempunyai lapan rekod dadah lampau,” ujarnya.

Ujian saringan ke atas kedua-dua suspek positif Methapethamine dan mereka direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan sehingga 17 Julai ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hasil siasatan mereka aktif dengan kegiatan pegedaran dadah sejak selepas PKP manakala kokain bernilai RM600,000 yang dirampas polis adalah untuk pasaran luar negeri iaitu ke Taiwan.-MalaysiaGazette