PDRM

KUALA LUMPUR – Seramai 1,598 pendatang tanpa izin (PTI), 526 tekong serta 110 penyeludup ditahan menerusi Operasi Benteng sejak 1 Mei lepas hingga semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, katanya pihak berkuasa juga menahan 54 bot dan 156 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara.

“Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 68 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 37,001 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus dan berjaya menahan lima warganegara asing atas kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata Operasi Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PTI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata 52 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP, dan daripada jumlah itu, 11 individu direman, seorang dijamin manakala 40 lagi dikompaun.

Antara kesalahan ingkar PKP ialah aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarakan sosial melibatkan 16 individu dan aktiviti melanggar prosedur operasi standard (SOP) membabitkan 36 individu, katanya.

Beliau berkata Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM telah membuat 64,414 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKPP melibatkan 2,877 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 13,262 anggota.

Katanya pemantauan dibuat di 4,005 pasar raya, restoran (5,736),  penjaja (1,512), kilang (1,117), bank (3,862) dan 750 pejabat kerajaan, selain 1,104 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air serta 128 terminal pengangkutan udara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 477 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dari China, Indonesia, Qatar, India, Thailand dan Jepun semalam, diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Beliau berkata PDRM juga membuat 1,455 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di kediaman dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP ditetapkan.

“Dari 10 Jun hingga 14 Julai 2020, Kementerian Kesihatan membuat saringan ke atas 18,154 individu di pintu masuk KLIA.

“Daripada jumlah ini, 18,081 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala 73 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Mengenai tapak pembinaan, Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang membuat pemeriksaan di 43 tapak di seluruh negara melibatkan 103 penguat kuasa, mendapati 34 tapak pembinaan mematuhi SOP ditetapkan, manakala empat tidak patuh SOP dan diberi nasihat, manakala lima lagi tapak pembinaan tidak beroperasi.

Beliau berkata Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 834 premis perniagaan membabitkan peruncit (624), pemborong (180) dan pengilang (30), semalam.

Menurutnya, 1,362 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP juga dijalankan dan mendapati 1,358 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala empat premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.

— BERNAMA