KUALA LUMPUR – Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dna Aeroangkasa Langkawi 2021 (LIMA’21) yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 20 Mac 2021 dibatalkan.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, keputusan itu diambil kerajaan dalam satu Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai lalu.
“Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini telah memberikan impak besar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga di seluruh dunia dan wabak ini dilihat masih belum
dapat ditangani dengan sepenuhnya.
“Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan selaku penganjur utama Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2021 (LIMA’21) juga sedar
akan impak global pandemik COVID-19 yang bukan sahaja dari sudut kesihatan malah kesan besar terhadap sosial dan ekonomi dunia.
“Sehubungan itu, kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai lalu telah memutuskan untuk membatalkan penganjuran LIMA’21 yang sepatutnya berlangsung
pada 16 hingga 20 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan yang sama menambah, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan justifikasi antaranya impak ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.
Malah impak pandemik Covid-19 yang dilihat memberi kesan yang besar terhadap jumlah penyertaan pempamer dan pelabur di dalam acara antarabangsa seperti LIMA.
“Ianya berkait rapat dengan langkah yang diambil oleh kebanyakan negara untuk menutup sempadan dan menyekat perjalanan ke luar negara bagi mengurangkan risiko penularan wabak tersebut, seterusnya menyukarkan pihak kementerian untuk mencapai sasaran penyertaan yang ditetapkan.
“Kekangan masa dalam keadaan mencabar penganjuran acara berskala besar seumpama ini memerlukan tempoh yang wajar agar dapat dirancang dengan teliti dan terperinci termasuk untuk menjalankan aktiviti promosi dan publisiti bagi mendapatkan sasaran penyertaan dan juga memenuhi keperluan pelbagai sektor yang berkaitan,” sebut kementerian lagi.
Kesemua faktor berkenaan akan mempengaruhi impak kepada penjenamaan LIMA yang selama ini diklasfikasikan sebagai pameran maritim dan aeroangkasa utama di rantau Asia.
Selain itu, pulangan perbelanjaan kerajaan dan syarikat penganjur kos penganjuran LIMA’21 dijangka meningkat mengambil kira keperluan untuk memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Dengan jangkaan jumlah penyertaan akan berkurangan, adalah sukar untuk mencapai pulangan pelaburan berbanding kos yang dikeluarkan oleh kerajaan dan penganjur.
Keputusan pembatalan ini juga dibuat setelah mengambil kira pandangan dari pihak-pihak pemegang taruh dan juga pihak-pihak berkaitan yang lain, menurut kementerian.-MalaysiaGazette