Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyambut baik langkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang meluluskan usul mendesak Kerajaan Persekutuan menggubal rang undang-undang anti lompat parti.

Bagaimanapun sebelum Akta Anti Lompat Parti itu digubal, undang-undang itu perlu dipastikan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak timbul soal bercanggah dengan kebebasan berpersatuan.

“Sekiranya percanggahan perundangan itu tidak timbul atau dapat diselaraskan, saya secara peribadi rasa ini adalah undang-undang yang baik,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Venturetech, Duopharma Biotech dan Pangen Biotech di sini hari ini.

Semalam, DUN Selangor meluluskan usul mendesak Kerajaan Persekutuan menggubal rang undang-undang anti lompat parti.

Usul yang dibawa R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) itu adalah bagi menghalang mana-mana ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti dan ia mendapat sokongan sebulat suara ahli dewan berkenaan.

Sementara itu, menurut Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, usul tersebut diluluskan sebagai gesaan sekiranya ada mana-mana wakil rakyat melompat parti, mereka perlu mengosongkan kerusi tersebut demi mempertahankan mandat yang diberikan menerusi pilihan raya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi menegaskan, Akta Anti Lompat Parti boleh diperkenalkan dengan syarat Akta Pilihan Raya juga dipinda sekali.

“Kalau kita lulus Akta Anti Lompat, kita mesti pinda Akta Pilihan Raya juga untuk memberi kelonggaran wakil rakyat tersebut jika dia tidak lagi bersetuju parti dia dan dia boleh letak jawatan dan bertanding sebagai calon Bebas.

“Dengan cara ini, ia tidak dihukum dan halang daripada bertanding dan kalau kes itu saya boleh terima Akta Anti Lompat,” katanya.

Jelasnya, pada ketika ini, sekiranya mana-mana wakil rakyat meletakkan jawatan sama ada sebagai ahli Parlimen atau pun ADUN, penalti akan dikenakan dan individu itu tidak dibenarkan bertanding selama lima tahun.

“Undang-undang Pilihan Raya sedia ada, kalau kita letak jawatan sebagai wakil rakyat sekarang, pindaan yang dibuat, kita tak dibenarkan bertanding dalam tempoh masa lima  tahun.

“Suatu ketika dahulu dulu Tan Sri Shahrir Samad, beliau letak jawatan sebagai ahli Parlimen yang mewakili UMNO, dan pada waktu itu pindaan belum lagi dibuat kepada Akta Pilihan Raya.

“Dia bertanding sebagai bebas, dan dia menang dalam pilihan raya tersebut atas nama Shahrir Samad, calon Bebas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. betul tu. satu cadangan yang baik dan menasabah. dengan itu tak ada lagi lompat parti. tak suka boleh keluar dan masuk undi semula. buktikan pilihan rakuat bukan pada partinya tapi pada orangnya.

Comments are closed.