KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd (FGV) akan meningkatkan pendapatan sektor logistiknya dengan penambahan kenderaan baharunya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata aset tambahan itu yang terdiri daripada lori tangki, treler dan trak pengangkut, ia akan meningkatkan kekuatan cabang logistik syarikat itu di bawah FGV Transport Sdn Bhd.

FGV Transport juga menawarkan perkhidmatan pengangkutan ‘inland’, pengangkutan ‘multimodal’, perkhidmatan kurier dan pergudangan.

“FGV Transport berperanan sebagai rangkaian rantaian bekalan kepada kumpulan itu, adalah penyedia pengangkutan membawa produk sawit di negara ini, ia mempunyai hampir 500 trak (lori tangki, kargo, kurier) dan 14 hab di seluruh negara, termasuk lima depot utama dan sembilan subdepot.

“Kami fokus dan bertekad untuk mengembangkan perniagaan logistik kami sejajar dengan permintaan industri untuk penyedia logistik yang boleh dipercayai dan cekap,” katanya dalam satu kenyataan.

Haris Fadzilah berkata, perkhidmatan FGV tidak terhad kepada penyediaan pengangkutan sahaja tetapi turut menawarkan pasukan profesional berpengalaman dalam logistik dan pengurusan pengangkutan dengan sistem menjejaki kenderaan yang canggih untuk memantau pergerakan trak dan produk yang telah dihantar.

Bulan ini, FGV Transport membeli 15 unit treler sepanjang 45 kaki untuk memenuhi industri barangan pengguna yang bergerak pantas, dan merancang untuk membeli 15 unit lagi menjelang akhir tahun

Treler itu yang mampu mengangkut hingga 22 palet dengan kapasiti 20 metrik tan (MT) atau 40MT, (bergantung pada jenis produk), terletak di depot FGV di Shah Alam dan Pelabuhan Klang di Selangor; Pasir Gudang, Johor dan Kuantan, Pahang.

Sementara itu, susulan mandat kerajaan mengenai B20, syarikat itu telah menambah lima trak baharu dengan kapasiti sekitar 350MT untuk pengangkutan ‘palm methyl ether’ (PME – untuk digunakan dalam biodiesel), menjadikan jumlah keseluruhan traknya kepada sembilan.

“FGV Transport telah memperoleh pengangkutan lesen biofuel di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; lesen wajib bagi semua syarikat pengangkutan yang terlibat dalam pengangkutan PME dan biodiesel.

“Dengan trak baharu ini, FGV merancang untuk meluaskan perkhidmatannya kepada pihak luar juga,” kata Haris Fadzilah.

-BERNAMA