GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kenaikan kes koronavirus dunia bagi hari kedua berturut-turut dengan jumlah kes sebanyak 259,848 dalam 24 jam.
Kenaikan terbesar adalah dari Amerika Syarikat (AS), Brazil, India dan Afrika Selatan.
Pada hari Jumaat lalu, WHO melaporkan jumlah kes baharu sebanyak 237,743 dan jumlah kematian meningkat sebanyak 7,360 – kenaikan terbesar dalam satu hari sejak 10 Mei lalu.
Purata kematian sehari dalam bulan Julai adalah 4,800 orang berbanding 4,600 orang pada bulan Jun.
Jumlah keseluruhan kes koronavirus telah melepasi 14 juta pada hari Jumaat, menurut data Reuters – menjadikan kematian hampir 600,000 orang dalam tempoh tujuh bulan.
Kenaikan itu bermakna sejuta kes dilaporkan di bawah tempoh 100 jam.
WHO melaporkan 71,484 kes baharu di AS, Brazil (45,403), India (34,884) dan Afrika Selatan (13,373).
Jumaat lalu, India menjadi negara ketiga di dunia yang mencatat lebih dari 1 juta kes koronavirus baru, hanya di belakang Amerika Syarikat dan Brazil.
Ahli epidemiologi mengatakan bahawa India mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk mencapai puncak penularan wabak itu.
Kes di Brazil melepasi angka dua juta pada hari Khamis, meningkat dua kali ganda dalam masa kurang daripada sebulan dan menambah hampir 40,000 kes baharu setiap hari. – MalaysiaGazette