Datuk Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekrja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong langkah pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merancang mewujudkan gred baharu bagi Skim Perkhidmatan Pegawai Rendah Polis (PRP) dan Konstabel untuk jawatan Sub Inspektor.

Presidennya, Adnan Mat berkata, CUEPACS berpandangan cadangan tersebut selari dengan usaha menambah baik skim perkhidmatan awam dan langkah yang tepat pada waktunya memandangkan cabaran kerja yang dihadapi oleh anggota PDRM ketika ini terlalu berat dan tidak setimpal dengan kadar gaji yang diterima oleh mereka.

“Ada sesetengah anggota polis yang bertugas di bandar-bandar besar terpaksa bertugas sehigga 48 jam dan kadang-kadang waktu cuti mereka pula terpaksa dipanggil bertugas jika ada keperluan mendesak.

“CUEPACS yakin sekiranya keadaan gaji dan skim perkhidmatan ini ditambah baik, ia akan memberi satu suntikan atau motivasi buat anggota polis yang terpaksa bertugas sehingga terpaksa mengabaikan ahli keluarga sendiri.

“Cadangan ini juga memberi peluang kepada anggota berpangkat rendah PDRM untuk kenaikan pangkat sekali gus tidak menghentikan pembangunan kerjaya mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, CUEPACS juga berharap kerajaan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mempertimbang dan melaksanakan cadangan daripada PDRM.

“Apabila terbelanya nasib pekerja-pekerja ini yang mana mereka menikmati gaji yang lebih baik dan peluang kenaikan pangkat walaupun, ia melambangkan kerajaan sentiasa mendenar keluhan serta kesulitan yang dihadapi anggota polis selama ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, CUEPACS berharap kerajaan akan terus melaksanakan apa jua cadangan yang boleh menambah baik skim perkhidmatan awam di negara ini walaupun ia diumumkan kerajaan terdahulu.

Setiap cadangan yang telah diumum dan dikaji perlu dilaksanakan dengan segera bagi mengelakkan ia menjadi sia-sia atau membuang masa.

Antara cadangan tersebut adalah pemberian penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari kepada penjawat awam yang telah berkhidmat lebih 15 tahun seperti yang diumumkan dalam belanjawan 2020 pada tahun lalu.

“CUEPACS tidak mahu apa jua cadangan untuk penjawat awam yang telah diumumkan sebelum ini dikitar semula bagi dibentangkan dalam mana-mana perancangan atau belanjawan pada masa akan datang.

Jika perkara ini sering berlaku ia akan memberi gambaran negatif kepada kerajaan yang dilihat sebagai berdolak-dalik dalam setiap polisi yang mahu dilaksanakan,” katanya.- MalaysiaGazette