Rodziah Ismail

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Wanita Negeri (MPWN) PKR Selangor mengingatkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) agar memberi tumpuan kepada hal berkaitan kepentingan rakyat, bukan membicarakan perebutan jawatan.

Anggota Exconya, Rodziah Ismail menegaskan, PH perlu mengutamakan permasalahan rakyat ketika mereka berdepan dengan keadaan getir berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, pada sidang Parlimen kali ini, tugas wakil rakyat PH ialah membahas dan membantu rakyat dengan masalah yang membelenggu mereka sejak dahulu seperti pekerjaan, pendidikan dan peluang yang lain.

“Bukan itu sahaja, wakil rakyat PH juga perlu bertanggungjawab menjadi semak dan imbang kepada kerajaan supaya dasar kerajaan dilaksanakan.

“Kita perlu ingat, rakyat menyokong dan memberi mandat kepada PH kerana Buku Harapan dan janji Manifesto PH yang tidak akan mentadbir negara seperti Barisan Nasional (BN) yang penuh dengan rasuah dan penyelewengan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu, PKR memenangi 47 kerusi Parlimen, diikuti DAP 42 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 13 kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) 11 kerusi dan Parti Warisan lapan kerusi.

Rodziah turut menasihatkan PH, jangan terlalu taksub dengan pertanyaan siapa calon Perdana Menteri seterusnya.

Ujarnya, rakyat sudah muak dengan pertikaian tersebut yang sehingga kini tiada penghujung.

“Ketua Pembangkang telah dipilih (Datuk Seri Anwar Ibrahim), malah masing-masing parti gabungan PH telah menyatakan pendirian, kita perlu hormati,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast