Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama peguammnya yang juga Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer keluar dari bu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya selepas memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan mengenai kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diarahkan untuk kembali memberikan keterangan buat kali kedua mengenai siasatan projek terowong dasar laut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut peguamnya, RSN Rayer, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan kembali ke SPRM pada Sabtu ini jam 10 pagi.

“Belum selesai lagi (siasatan terhadap Lim Guan Eng), kami diminta untuk hadir sekali lagi pada hari Sabtu, pukul 10 pagi.

“Siasatan berkenaan terowong tersebut,” katanya di perkarangan bangunan SPRM, sebentar tadi.

Rayer berkata, Guan Eng hadir sebagai saksi SPRM berhubung siasatan tersebut.

“Beliau hadir sebagai seorang saksi. Sebenarnya beliau tidak sihat hari ini, beliau ada sijil cuti sakit untuk dua hari, hari ini dan esok.

“Namun demikian memandangkan kami telah menerima notis untuk hadir kami memberi kerjasama hadir di SPRM,” katanya lagi.

Guan Eng yang enggan bercakap kepada media beredar dari Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 7.13 petang tadi selepas lebih enam jam memberikan keterangan.

Kereta Toyota Vellfire berwarna putih yang membawa Guan Eng dilihat keluar melalui pintu belakang ke pintu utama bangunan SPRM.

Setiausaha Agung DAP itu disiasat berhubung projek terowong dasar laut.

Guan Eng yang memasuki perkarangan SPRM jam 1.05 petang sebelum ini diiringi Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Rayer yang merupakan Ahli Parlimen Jelutong.

Terdahulu, beberapa pemimpin kerajaan negeri dipanggil untuk diambil keterangan berhubung siasatan SPRM ke atas projek itu.

Sehingga kini, SPRM telah menahan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang manakala tiga syarikat diserbu kerana dipercayai ada kaitan dengan projek berkenaan.

Pada minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan ke atas projek bernilai RM6.3 bilion itu tertumpu kepada pengubahan wang haram dan menjangkakan siasatan kes selesai dalam dua hingga tiga minggu.

Kes itu disiasat oleh SPRM sejak tahun 2017. – MalaysiaGazette