Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semua EkonomiĀ  (Penjana) yang dilaksanakan oleh kerajaan sudah mula menyaksikan perkembangan positif.

Perkembangan ini disokong oleh kerancakkan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan yang beransur pulih dan meningkat dalam bulan-bulan yang akan datang.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, salah satu bukti pemulihan ekonomi ialah laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi jualan perdagangan borong dan runcit bagi bulan Mei 2020, di tahap RM84.4 bilion.

Ini merupakan peningkatan sebanyak RM17.5 bilion atau 26.3% berbanding April 2020.

Menurutnya, meskipun kerajaan sudah jangkakan bahawa kadar pengangguran akan naik lagi, tetapi apa yang lebih penting langkah-langkah pembukaan ekonomi dan pengekalan pekerjaan mempunyai impak positif ke atas kadar pekerja yang kembali bekerja.

Ini terbukti melalui data DOSM yang menunjukkan bahawa sehingga 2 Jun 2020, lebih kurang 12.7 juta atau 83.5% pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2% pada 17 Mei 2020.

Kadar pengangguran bulan Mei naik kepada 5.3% pada bulan Mei berbanding 5% pada bulan April.

“Apa yang lebih penting ialah apa yang kerajaan telah dan perlu lakukan untuk memastikan impak COVID-19 kepada ekonomi dapat ditangani dengan baik, sekurang-kurangnya dari segi mengurangkan impak supaya ekonomi kita mampu berkembang semula dengan segera sejajar dengan pemulihan ekonomi serantau dan global,” katanya dalam Laporan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Pelan Jana Semua Ekonomi.

Dalam kenyataan itu, Tengku Zafrul berkata, berdasarkan jangkaan pelbagai agensi seperti Bank Dunia dan Tabung Dana Kewangan Antarabangsa lebih 150 negara di seluruh dunia dijangka merekodkan penguncupan ekonomi pada tahun 2020, termasuklah Malaysia.

Namun, selain Thailand, Global Economic Prospects June 2020, yang dikeluarkan oleh kumpulan Bank Dunia, mengiktiraf Malaysia sebagai salah sebuah negara yang melaksanakan pakej sokongan ekonomi yang luar biasa yang memfokuskan kepada kesejahteraan dan kesihatan awam, penyediaan penjagaan, jaminan pinjaman, dan insentif perniagaan. – MalaysiaGazette