KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menarik semula penggantungan sementara juruterbang warga Pakistan yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan tempatan.

Tindakan itu dibuat selepas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan (PCAA) memperakui kesahihan 18 pemegang lesen juruterbang terbabit.

Pengesahan itu dikeluarkan susulan tindakan penggantungan lesen mereka oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada awal bulan ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya,Chester Voo

”Sehubungan pengesahan itu, CAAM telah menarik kembali penggantungan lesen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bulan lalu PCAA mendedahkan seramai 262 daripada 860 juruterbang aktif di Pakistan tidak menduduki peperiksaan juruterbang.

Daripada jumlah itu, kira-kira 40 peratus juruterbang berkenaan memiliki lesen palsu.

Susulan pendedahan itu, kebanyakan negara menggantung sementara khidmat juruterbang Pakistan. – MalaysiaGazette