KUALA LUMPUR – Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegur sikap terlalu keras anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap peniaga kecil dalam menjalankan tugas.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, tindakan saman dikenakan kepada peniaga atas kesalahan yang bukan mereka sengajakan tidak wajar.
Katanya, kesalahan peniaga kecil dimaksudkannya adalah berkaitan dengan timbang tamat tempoh.
“Timbang itu tamat tempoh ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu. Sudah tentu mereka tidak dapat menyambung tarikh baharu kerana urusan di semua pejabat terhenti.
“Mereka bukan sengaja pun. Mereka tidak dapat berniaga dan mereka tidak dapat bergerak kerana PKP. Tetapi, apabila penguatkuasa melakukan pemeriksaan, peniaga terus dikenakan saman.
“Saya anggap ini tidak wajar. Sekurang-kurangnya beri amaran. Beri tempoh tertentu supaya mereka dapat memperbaharui tempoh timbang masing-masing ketika PKP Pemulihan ini,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Armand Azha, kebanyakan peniaga yang baru memulakan hidup baru mencari rezeki selepas sekian lama terhenti, adalah golongan B40 yang berpendapatan rendah.
Katanya, KPDNHEP sepatutnya mencontohi sikap prihatin Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, apabila mendapati ada peniaga dalam masalah dan kesusahan, beliau turun membantu.
“Mana-mana peniaga kecil yang berniaga tanpa lesen, beliau usahakan sehingga peniaga itu mendapat lesen walaupun dalam bentuk sementara.
“Annuar juga menggunakan pendekatan berlembut dan diterapkan dalam jiwa anggota penguatkuasanya.
“KPDNHEP pun sepatutnya menggunakan pendekatan itu, atau budi bicara. Kerana yang mencari rezeki itu adalah warganegara, dan mereka pula dari golongan susah, miskin,” ujarnya.
Ketua UMNO Bahagian Subang itu berharap, KPDNHEP dapat memahami Nurani rakyat yang mencari rezeki di musim pandemik Covid-19 ini, kerana saman RM1,000 yang dikenakan agak terlalu tinggi. – MalaysiaGazette