KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi memutuskan untuk memansuhkan pengeluaran Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) dan Surat Tiada Halangan (STH) berkuatkuasa serta merta.

Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Tinggi, tujuan asal pengeluaran SSLN dan STH adalah sebagai mekanisme kawalan terhadap kualiti pelajar Malaysia yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di luar negara.

“Walau bagaimanapun, terdapat pihak-pihak tertentu yang didapati menyalahgunakan serta menciplak dokumen tersebut untuk kepentingan sendiri.

“Sehubungan itu, SSLN dan STH tidak akan dikeluarkan lagi oleh Kementerian Pengajian Tinggi selepas ini,” kata JPT.

Tambah jabatan itu, pelajar Malaysia yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di luar negara dinasihatkan supaya memastikan institusi pengajian tinggi luar negara serta
program yang dipilih atau ditawarkan adalah yang diiktiraf.

Jelas JPT, pelajar boleh merujuk laman web Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf (www2.mqa.gov.my/esisraf/) untuk mendapatkan senarai Sijil, Diploma dan Ijazah Pertama luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia bagi tujuan permohonan dan pelantikan jawatan dalam perkhidmatan awam.

“Pelajar juga digalakkan untuk membuat semakan dan mendapatkan pengesahan tentang status pengiktirafan kelayakan yang dianugerahkan oleh pemberi pendidikan tinggi luar negara daripada pihak berkuasa dan badan jaminan kualiti negara tersebut.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi alamat dan talian berikut iaitu Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi di talian 03-8870 6000 atau e-mel [email protected] – MalaysiaGazette