Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara mulai semalam diarah menjalani proses kuarantin wajib di Stesen Kuarantin ditetapkan kerajaan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 319 individu yang pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 semalam, telah diarah menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di empat Stesen Kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Mereka merupakan kumpulan pertama yang menjalani proses itu di Stesen Kuarantin, selepas kerajaan tidak lagi membenarkan kuarantin di kediaman diteruskan berikutan berlaku pelanggaran arahan dan prosedur standard operasi (SOP) ketika menjalani proses itu di rumah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan kali ini terpaksa bertindak tegas, termasuk meminta mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin dan kos ujian saringan Covid-19.

Ismail Sabri Yaakob.

“Bermula semalam, kerajaan memutuskan semua rakyat yang pulang dari luar negara dan warganegara asing masuk ke negara ini, sama ada ekspatriat, pasangan dan tanggungan rakyat Malaysia, perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin.

“Semalam juga seramai 319 individu yang pulang ke tanah air dari 12 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, China dan Australia menjalani kuarantin di empat Stesen Kuarantin di tiga negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, keputusan membuka semula Stesen Kuarantin untuk perintah kuarantin wajib 14 hari diambil setelah mengambil kira peningkatan kes import dan ketidakpatuhan SOP yang menyebabkan peningkatan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, seramai 9,600 individu yang masih menjalani proses kuarantin wajib di rumah masing-masing diteruskan.

Ujar beliau, Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) bersama anggota polis akan membuat pemeriksaan mengejut untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi SOP ditetapkan.

Mulai Isnin 27 Julai ini, ujar beliau, polis akan mengambil tindakan menangkap dan mendakwa di mahkamah seramai 2,897 individu yang belum tampil untuk ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuaranti di rumah.

“Indvidu itu diarahkan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat untuk melakukan ujian saringan kedua,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.