PETALING JAYA – Polis menahan tiga lelaki tempatan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit di pusat hiburan sekitar Petaling Jaya dalam operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tiga lelaki berusia 29, itu ditahan di tiga premis berasingan antara jam 11 malam semalam dan 5 pagi tadi.
Katanya, dalam serbuan pertama di pusat hiburan di Jalan PJU 7/3, Mutiara Damansara, dekat sini, kira-kira jam 11 malam itu, polis turut menahan 10 lelaki warga asing berumur 25 hingga 30 tahun kerana bekerja dalam premis hiburan tanpa permit sah.
“Semua mereka telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39(b) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
“Kita juga turut merampas pelbagai barangan elektronik dan wang tunai berjumlah RM9,350,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau menyatakan, hasil pemeriksaan lanjut dalam premis berkenaan, seramai 310 individu iaitu 200 lelaki dan 110 wanita berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun sedang berkumpul.
Kata beliau, mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (N0.7) 2020.
“Semua mereka telah dikenakan kompaun RM1,000 tiap seorang kerana kesalahan itu,” katanya.
Menurut Nik Ezanee, bagi tangkapan kedua dan ketiga, anggotanya melakukan serbuan lokasi berasingan di Jalan SS 2/60 dan dalam premis Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya.
Ujar beliau, hasil pemeriksaan dalam premis berkenaan, polis menahan lima lelaki warga asing berumur lingkungan 23 hingga 27 tahun kerana gagal mengemukakan dokumen diri serta bekerja tanpa permit yang sah dalam premis tersebut.
Semua mereka, katanya, ditahan dan disiasat bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
“Kita telah memberikan nasihat dan peringatan, tetapi masih ada yang tidak mengikuti prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Oleh itu, kita akan bertegas kembali demi menjaga kepentingan awam dengan cara membuat tangkapan dan mengenakan kompaun kepada sesiapa yang tidak mengikut SOP ditetapkan sepanjang PKPP.
Kata Nik Ezanee, operasi pemantauan PKPP itu melibatkan 10 pegawai dan 19 anggota dari IPD Petaling Jaya. – MalaysiaGazette