SHAH ALAM – Majlis Perwakilan Wanita Negeri (MPWN) PKR Selangor percaya perbuatan vandalisme pada lukisan mural di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, dekat sini, Isnin lalu, disebabkan politik kebencian terhadap pemimpin tertentu.
Anggota Exconya, Rodziah Ismail dalam posting Facebooknya hari ini memberitahu, walau apapun alasan diberikan, perbuatan menconteng mural pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong jelas tidak boleh dimaafkan.
Kata beliau, jenayah vandalism semakin hari semakin membarah di Malaysia berikutan masih banyak lagi aktiviti tidak bertanggungjawab dilakukan.
“Terbaru, dua wanita telah disyaki menconteng mural pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, Selangor.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini dipercayai dilakukan disebabkan politik kebencian terhadap pemimpin tertentu. Bagaimanapun, tindakan itu tidak boleh dimaafkan,” katanya.
Isnin lalu, UMNO Bahagian Shah Alam membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6, di sini, meminta polis menyiasat dan mengheret pelaku ke muka pengadilan
Lukisan mural pada dinding bangunan itu hasil karya tiga anak muda tempatan, yang mengambil masa selama dua minggu untuk siap sebagai menghargai barisan hadapan memerangi pandemik Covid-19.
Berikutan adanya tanda mercu itu, kawasan Taman Cahaya Alam yang baharu ditonjolkan menerima kunjungan dari Yang di-Pertua Agong dan Raja Permaisuri Agong serta pemimpin kanan negara yang lain.
Menurut Rodziah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, pelaku bukan sahaja telah merosakkan, tetapi menghina dan tidak menghormati hasil karya tersebut yang telah dihasilkan dengan menggunakan banyak tenaga dan masa.
“Perbuatan vandalisme ini perlu diperangi oleh semua pihak agar ianya tidak menjadi budaya dalam masyarakat kita.
“Oleh itu, kerajaan perlu tegas dalam hal ini dengan melaksanakan hukuman berat seperti khidmat masyarakat dan rotan supaya ia dapat menimbulkan rasa malu dan takut dalam kalangan pelaku,” katanya. – MalaysiaGazette