KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 kes baharu Covid-19 direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,884 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Bagaimanapun, kata beliau, tiada kes kematian berkaitan pandemik itu hari ini, dengan jumlah kumulatif kematian kekal sebanyak 123 kes iaitu 1.38 peratus daripada keseluruhan kes.
Katanya, bagi tempoh tersebut sebanyak 17 kes pulih dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 167 kes dan mereka kini telah diasingkan serta diberi rawatan.
Kata beliau, dari 23 kes baharu itu, enam adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke negara ini atas urusan kerja.
Enam kes import itu ialah dari Singapura sebanyak tiga kes dan masing-masing satu kes dari Indonesia, Filipina dan Rusia.
Menurut Dr. Noor Hisham, terdapat dua kluster baharu yang telah dikenalpasti hari ini, iaitu Kluster Bukit Tiram dan Kluster Syarikat Pembinaan Kuching.
Kluster Bukit Tiram melibatkan dua kes positif Covid-19 yang dilaporkan di sebuah pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor iaitu kes ke 8868 dan kes ke 8869.
Manakala Kluster Syarikat Pembinaan Kuching pula melibatkan kes yang dikesan pada 11 Julai 2020, iaitu kes ke-8715.
“Bagi kes ke-8868 dan kes ke-8869, mereka bukan warganegara yang menetap di Malaysia dan merupakan kakitangan pusat Taman Bukit Tiram dan mula mengalami gejala pada 15 Julai lalu, tetapi tidak mendapatkan rawatan segera di mana-mana fasiliti kesihatan.
“Kemudian, mereka telah membuat saringan Covid-19 dan dikesan positif pada semalam,” katanya.
Beliau berkata, bagi Kluster Syarikat Pembinaan Kuching, semua 10 orang kontak rapat telah disaring dan masih menunggu keputusan, manakala siasatan dan akitiviti pengesanan kontak rapat secara aktif sedang diteruskan.
“Melalui siasatan yang dijalankan, sebanyak 55 kontak rapat telah dikenalpasti yang terdiri dari lima rakan serumah dan 50 rakan sekerja.
“Semua kontak ini telah disaring dan didapati negatif Covid-19. Kluster ini telah dikenalpasti apabila satu kes positif, iaitu kes ke-8881 telah dikesan dari saringan ulangan kontak-kontak rapat kes ke-8715.
“Aktiviti pengesanan kes secara aktif masih diteruskan dan punca jangkitan kluster masih dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette
Yang negatif pun boleh percaya.. Hari ke 13 boleh jadi positif.. Sangat menakutkan.