Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berucap pada Majlis Perasmian Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Presint 5, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 25 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) akan mewujudkan kawasan pertanian bandar mega (Mega Urban Farm) di Persint 20 sebagai usaha menambahkan dan mempelbagaikan tanaman di kawasan berkenaan.

Perkara itu diumum Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang melihat inisiatif berkenaan sebagai langkah yang baik untuk mewujudkan landskap yang indah dan dalam masa sama memanfaatkan tanah di Putrajaya.

“Di Putrajaya kita ada banyak tanah yang tidak akan digunakan dalam jangka masa terdekat, mungkin empat hingga lima tahun jadi kita boleh menimbangkan aktiviti-aktiviti produktif untuk menggunakan tanah-tanah tersebut termasuk rancangan Perbadanan Putrajaya untuk mewujudkan Mega Urban Farm bukan secara kecilan tetapi melibatkan pertanian yang boleh sokong keperluan Putrajaya sendiri.

“Jadi mungkin boleh ditanam pokok-pokok berwarna ataupun bunga-bunga tropika,” katanya pada Majlis Perasmian Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS).

Kawasan pertanian bandar mega berkenaan, ujar Annuar, dijangka menggunakan tanah seluar 34 ekar (13.8 hektar).

Sementara itu, Annuar mencadangkan agar jalan-jalan di ibu kota dihiasi dengan bunga-bunga tempatan pelbagai warna  bagi mengindahkannya.

“Saya baru dalam perundingan juga di peringkat Kuala Lumpur dengan Pengarah bahagian Landskap untuk mengkaji penggunaan bunga-bunga tempatan seperti Orkid, untuk menghiasi jalan-jalan protokol sekurang-kurangnya.

“Tapi usaha menambah warna kepada landskap kita perlu dibuat. Ini semua boleh dilakukan memerlukan sedikit input saintifik, kajian pokok yang ada kesesuaian, jangan buat landskap biasa, mesti ada landskap yang berkarakter,” tambahnya. -MalaysiaGazette