KUALA LUMPUR – Hampir 40 negara melaporkan peningkatan rekod jangkitan koronavirus dalam tempoh satu hari, seminggu ini.
Peningkatan itu adalah dua kali ganda jumlahnya yang berlaku pada minggu sebelumnya, menurut data Reuters.
Ini menunjukkan berlaku lonjakan dalam wabak koronavirus di setiap wilayah di dunia ini.
Kadar kes meningkat bukan sahaja di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Brazil dan India, yang mendominasi tajuk utama global dengan wabak besar, tetapi di Australia, Jepun, Hong Kong, Bolivia, Sudan, Ethiopia, Bulgaria, Belgia, Uzbekistan dan Israel.
Gelombang kedua wabak ini berlaku sejak kebanyakan kerajaan melonggarkan peraturan penjarakan jauh.
“Kita tidak akan kembali ke ‘normal lama’. Pandemik telah mengubah cara kita menjalani kehidupan,” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pada minggu ini.
Beliau turut mengingatkan untuk sentiasa membuat keputusan bahawa ke mana mereka pergi, apa yang mereka lakukan dan siapa yang mereka temui sebagai keputusan hidup dan mati.
“Inilah hakikatnya,” ujar beliau.
Data Reuters menunjukkan peningkatan berterusan dalam jumlah negara yang melaporkan peningkatan harian dalam virus Covid-19 selama sebulan terakhir ini.
Sekurang-kurangnya tujuh negara mencatatkan kenaikan tersebut tiga minggu lalu, meningkat kepada sekurang-kurangnya 13 negara dua minggu lalu kepada sekurang-kurangnya 20 negara minggu lalu dan 37 negara minggu ini. – MalaysiaGazette