Mana-mana pihak yang menjadikan lapangan terbang negara sebagai transit dikehendaki menjalani saringan Covid-19 sebelum dibenarkan terbang ke destinasi seterusnya.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mana-mana pihak yang menjadikan lapangan terbang negara sebagai transit dikehendaki menjalani saringan Covid-19 sebelum dibenarkan terbang ke destinasi seterusnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil iktibar daripada Kluster PUI Melbourne di mana jangkitan berlaku apabila penumpang transit tidak disaring.

“Salah satu keperluan untuk kita terbang adalah menjalankan ujian. Kalau ujian negatif baru kita benarkan terbang.

“Ada syarikat penerbangan menetapkan mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan penerbangan kena laksanakan saringan sebelum mereka dibenarkan naik ke pesawat.

“Ini salah satu tindakan yang perlu kita lihat bagaimana kita boleh mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam kapal terbang,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.

Minggu lalu, KKM mengesan kluster baharu iaitu Kluster PUI Melbourne membabitkan seorang penuntut tempatan iaitu kes ke-8749 yang pulang dari Australia pada 15 Julai lalu.

Penuntut itu menaiki dua pesawat iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudian dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak. – MalaysiaGazette