KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang dalam usaha menarik lebih ramai kaum wanita untuk berkhidmat dalam bidang kebombaan, kata menterinya, Zuraida Kamaruddin.

Menurut Zuraida, ketika ini terdapat 643 bomba wanita sedang menjalankan tanggungjawab mereka di seluruh negara.

“KPKT melalui JBPM telah menetapkan kuota pengambilan untuk pegawai wanita bagi gred lantikan pada masa kini adalah sebanyak 5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengambilan berdasarkan keperluan semasa jabatan.

“JBPM juga sedang meneliti untuk melaksanakan kajian berkaitan bidang-bidang keutamaan baharu kebombaan yang sesuai dan relevan sebagai skop tugas JBPM. Kajian terhadap bidang-bidang baharu ini termasuk bidang yang bersesuaian bagi anggota dan pegawai wanita,” jawab beliau dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Noraini Abdul Karim yang mahu tahu apakah inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian untuk menambahkan bilangan anggota bomba wanita khususnya dalam kalangan pegawai.

Untuk rekod, sejumlah 4.82 daripada keseluruhan kakitangan JBPM adalah wanita.

Dalam pada itu, JBPM telah melaksanakan pengambilan anggota wanita secara terbuka kepada semua mengikut syarat skim yang telah ditetapkan bagi melaksanakan usaha untuk menarik lebih ramai pengawai wanita.

“Dalam proses pengambilan calon anggota bomba, ujian fizikal yang perlu dilalui oleh calon wanita adalah lebih ringan dan mudah berbanding calon lelaki.

“Peranan pegawai wanita diperlukan dalam tugasan-tugasan berkaitan kesedaran terhadap bahaya kebakaran serta pendedahan kepada penghapusan bahaya kebakaran,” jawab Zuraida. – MalaysiaGazette