Anwar Ibrahim (empat kiri) bersama Mohamad Sabu (empat kanan) dan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng (tiga kanan).

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. sebagai kemenangan untuk rakyat.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama berkata proses keadilan berkenaan tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan dan mengalahkan Barisan Nasional pada PRU14.

“Malah bila disoroti sejarah isu ini, masalah urus tadbir 1MDB dibangkitkan kali pertama di Parlimen oleh Anwar Ibrahim pada 2011.

“Majlis Presiden merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam proses ini, termasuk mantan Peguam Negara yang telah memulakan proses perundangan ini,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Majlis Presiden PH juga menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk meneliti dan menelurusi penghakiman yang telah dibuat hari ini.

“Majlis Presiden berpendirian bahawa reformasi institusi menyeluruh perlu dilaksana untuk memastikan iklim politik yang memungkinkan kebobrokan dan kerosakan besar yang berlaku pada zaman pentadbiran Barisan Nasional tidak berulang lagi.

“Ini hanya boleh dilakukan dengan pengembalian mandat rakyat ke tempatnya,” kata ketiga-tiga pemimpin itu lagi. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. seronok majis meja panjang ph tali lupa diri sendiri byk skandal tpi ditutup semasa kerajaan ph berkuasa… tunggulah sedikit masa lagi SPRM sdg brrtindak mengumpul bukti….

  2. Kalau diperhatikan kedudukan ketua KHADAM didalam meeting atau press-conference sejak akhir2 ini selalu duduk diTENGAH2 bukan lagi disebelah tuannya!

    Sudah naik pangkat agaknya?

Comments are closed.