Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi mendengar keputusan tuduhan pecah amanah pengubahan wang haram RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Keputusan kes berprofil tinggi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyewelengan dana SRC International berjumlah RM42 juta akan di putuskan sebentar lagi, kira-kira pada pukul 10 pagi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka membacakan keputusannya setelah meneliti hujah lisan serta bertulis oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Beratus-ratus penyokong bekas Perdana menteri membanjiri kawasan di  sekitar mahkamah, yang menyaksikan deretan bas dan kereta yang diletakkan di sepanjang jalan masuk ke mahkamah.

Selain itu petugas media sudah berada di luar kawasan mahkamah sejak pukul 5.30 pagi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai sut berwarna coklat sempat melambai serta melemparkan senyum kepada orang ramai yang berada di situ.

Beliau berdepan dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Bekas pemimpin nombor satu negara itu didakwa telah mendapatkan suapan sebanyak RM42 juta apabila terbabit dalam keputusan bagi pihak kerajaan, dalam memberikan jaminan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Seandainya sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Semalam, Najib menyatakan seandainya keputusan hari ini tidak berpihak kepadanya, maka beliau akan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.

Katanya, beliau akan sedaya upaya menggunakan semua peluang yang ada untuk membersihkan nama daripada semua kes-kes yang dipalitkan ke atasnya. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. BERANI KERANA BENAR.
    BERSERAH PADA ALLAH YG MAHA ADIL.
    SEMOGA DSNAJIB DIPERMUDAHKAN URUSAN DIATAS KEBENARAN.
    AMIN.

  2. Mana dia pemimpin2 tertinggi UMNO-BN? Mana dia solidariti menteri2 UMNO? Semua dah kenyang…lepas ni DSN toksa lah duk bantu mrk lagi..Mereka cuma gunakan DS Najib utk raih undi…Mulakan di PRK Slim..kita tgk blh ker Menteri2 UMNO ni dpt sokongan rakyat…lepas ni PH kaaa..PN kaaa..dua2 aku tak undi..sama jer 2X5 menzalimi DS Najib…

Comments are closed.