Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee bercakap kepada media selepas selesai Majlis Penyampaian Geran Agroprenuer Muda di Wisma Tani, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Pengurusan sumber dan pembangunan industri perikanan pada masa kini berada pada tahap amat kritikal, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Jelas beliau keadaan ini wujud berikutan sumber berkenaan paling berisiko untuk dieksploitasi, justeru perlu ada usaha untuk semua pihak yang bertanggungjawab bersama Jabatan Perikanan memuliharanya.

Justeru beliau berkata, kesedaran perlu disebarkan kepada pelbagai pihak tentang pentingnya pemuliharaan sumber ikan.

“Sumber perikanan boleh dieksploitasi secara meluas dan akan mewujudkan keadaan yang kritikal.

“Kalau dibiarkan sedemikian sumber laut akan tentu sekali berkurangan.

“Ini merupakan tanggungjawab perikanan untuk menyedarkan industri tentang pentingnya memulihara sumber laut agar kita akan ada sumber laut yang berkekalan,” katanya kepada media selepas merasmian Persidangan Pegawai-pegawai Kanan dan Stesen Ikan hari ini.

Tambah Ronald, pengurusan sumber perikanan juga perlu dilaksanakan dengan baik bagi memastikan bekalannya berkekalan.

“Sebab itu dalam pendekatan kementerian kita ada sekatan pengeluaran lesen, sekatan terhadap penerokaan mengikut zon lesen semata-mata untuk memastikan sumber laut dapat dipelihara dengan baik,” kata beliau lagi.

Ketika berucap, Ronald berkata, pemuliharaan sumber perikanan perlu diberi perhatian agar industri berkenaan kekal untuk menyumbang kepada pembangunan taraf hidup kumpulan sasaran.

“Dalam keghairahan kita untuk membangunkan industri perikanan kita terutamanya sumber laut dalam dan akuakultur, aspek pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan harus diberikan perhatian.

“Ini adalah amat penting untuk memastikan industri ini kekal lestari untuk menyumbang kepada pembangunan taraf hidup kumpulan sasar kita, menjamin keselamatan makanan serta sumbangan kepada ekonomi negara,” beliau berkata.

Tambahnya, penggunaan ikan per kapita negara adalah 46.9 kilogram setahun, kedua tertinggi di Asia Tenggara.

Penggunaan ikan di Malaysia juga lebih tinggi daripada purata penggunaan per kapita dunia iaitu 20.5 kilogram per kapita setahun. – MalaysiaGazette