Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Para peminjam yang mampu perlu membayar balik pinjaman mulai 1 Oktober in bagi memastikan kitaran modal yang mampan untuk memulih dan menjana semula pemulihan ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pelbagai data ekonomi telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan hasil dari langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan, pembukaan ekonomi secara berperingkat pada bulan Mei 2020 dan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) mulai bulan Jun 2020.

Eksport negara berkembang 8.8% pada bulan Jun 2020, kepada RM82.9 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM20.9 bilion, nilai tertinggi yang pernah direkodkan.

Ini satu perkembangan positif berbanding data bulan Mei 2020, di mana perdagangan Malaysia menguncup sebanyak 27.8% tahun ke tahun, dan prestasi eksport menurun 25.5% bulan ke bulan.

Manakala Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 18.2% pada bulan Mei 2020 berbanding April 2020.

Sektor pembuatan melonjak 25.9% manakala sektor elektrik meningkat 13.7% pada tempoh yang sama.

Jualan sektor pembuatan adalah RM90.2 bilion bagi bulan Mei 2020, satu lonjakan 19.1% berbanding bulan April 2020.

Malah, katanya, jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium meningkat daripada 331,000 peminjam pada bulan April, kepada 601,000 peminjam pada bulan Julai 2020.

Jumlah peminjam PKS yang memilih untuk tidak mengambil kemudahan ini telah meningkat daripada 5,000 kepada 13,000 peminjam pada tempoh yang sama.

”Sehubungan itu, kementerian mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar bagi peminjam yang benar-benar memerlukannya.

”Kerjasama berterusan antara kerajaan, Bank Negara Malaysia dan sektor perbankan ini diharap akan menjamin kesejahteraan peminjam dan meneruskan pemulihan ekonomi yang masih sedang berputik,” katanya yang mengulas mengenai pengumuman lanjutan moratorium bersasar oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menawarkan moratorium secara am dan secara automatik selama enam bulan mulai April 2020 untuk manfaat individu dan PKS ketika PKP bagi memerangi penularan Covid-19.

Selain moratorium dari sektor perbankan yang bernilai RM100 bilion, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai langkah lain untuk membantu individu seperti Bantuan Prihatin Nasional, yang sehingga kini melibatkan peruntukan sebanyak RM11.16 bilion dan telah memanfaatkan 10.416 juta rakyat.

Selain itu, Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja yang bernilai lebih RM17 bilion untuk membantu perniagaan mengekalkan pekerja masing-masing. – MalaysiaGazette

Lanjutan moratorium: Golongan terjejas boleh tarik nafas lega

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast