Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh bertanding seberapa banyak kerusi yang mereka mahu kerana itu adalah hak mereka.

“Cubalah.. BN (Barisan Nasional) juga begitu,” kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa katanya dalam akaun Twitter hari ini.

Namun tambah beliau, sekiranya Bersatu dan UMNO mahu pertandingan satu lawan satu menentang Parti Warisan Sabah (Warisan) kedua-dua parti itu perlu berunding.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini berkata, partinya bersedia untuk bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah akan datang.

Ujar Hajiji, Bersatu Sabah akan mengemukakan calon berwibawa, berkredibiliti dan boleh menang bagi memenangi kerusi yang bakal ditandingi pada PRN itu.

Namun tidak lama selepas itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan membidak kenyataan Hajiji dengan berkata ‘jangan bermimpi’ ia akan berlaku.

Malah beliau mencadangkan kepada Bersatu Sabah ‘Kalau nak bersahabat dengan UMNO, buat cara bersahabat’.

“Kita boleh berbincang. Kita boleh berunding. UMNO Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi,” kata Shahril.

Menurut Annuar, dengan perundingan calon yang mempunyai peluang cerah untuk menang akan diberi laluan untuk bertanding pada pilihan raya itu. – MalaysiaGazette