Azhari Shaari
Azhari Shaari

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semakin merapu apabila mengeluarkan kenyataan yang memberi gambaran negatif kepada bangsanya sendiri iaitu Melayu.

Tegas Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, Pengarah Komunikasi Amanah itu menerusi ciapan Twitternya semalam, menyatakan laungan Ketuanan Melayu sama seperti ‘Zionisme’, ‘Nazisme’ dan ‘White Supremacy’.

“Sangat merepek. Kenyataan Khalid ini berunsur menghasut bangsa lain supaya memberi gambaran negatif terhadap orang Melayu.

“Saya boleh katakana, dia seorang yang sangat dangkal dan bersifat menghasut rakyat apabila mengatakan Ketuanan Melayu itu sama macam Zionisme, Nazisme dan White Supremacy.

“Kenyataan beliau ini boleh menyebabkan berlaku ketegangan antara kaum dan memberi tanggapan negatif terhadap orang Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khalid menerusi ciapan Twitternya menulis, ‘Ketuanan Yahudi menghasilkan ‘Zionisme’, ‘Ketuanan Aryan’ menghasilkan ‘Nazi’ Hitler, ‘Ketuanan Kulit Putih’ menghasilkan ‘White Supremacist’ Trump, manakala ‘Ketuanan Melayu’ sealiran dengan tiga fahaman sesat ini.

Beliau turut menyatakan, tolak Ketuanan bangsa, ‘Kedudukan Istimewa, bukan Ketuanan.

Kata Khalid lagi, istilah ‘Ketuanan’ itu membawa makna buruk, kenapa teringin hendak menggunakannya?

Menurut Azhari, apabila orang Melayu memperjuangkan hak istimewa mereka yang telah dipersetujui bersama semua kaum sebelum kemerdekaan, pemimpin Amanah itu boleh menganggap ianya fahaman sesat.

“Bagaimana pula dengan bangsa lain memperjuangkan ekonomi, budaya dan sejarah mereka? Tidak pula Khalid bising. Mengapa apabila orang Melayu menuntut janji yang telah dipersetujui, dikatakan fahaman sesat?

“Jika dilihat kembali dari zaman kemerdekaan sehingga sekarang, adakah hak Istimewa orang Melayu ini menindas bangsa lain?,” soal beliau.

Katanya, orang Melayu tidak menghalang agama lain mengamalkan agama mereka, malah rumah ibadat kaum itu tumbuh merata di Malaysia.

Begitu juga, ujarnya, orang Melayu tidak pernah memboikot perniagaan bangsa lain sehinggakan ramai antara mereka kaya-raya hasil daripada kuasa membeli orang Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.