Parti Warisan bertanding 45 dari 60 kerusi diperuntukan pada PRU14 di Sabah.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu melihat semula kewujudan ‘abang besar’ dalam gabungan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ini kerana, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nampak jelas berlaku ketidakadilan dalam pembahagian kerusi antara parti gabungan PH melibatkan Warisan, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurut penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof, dalam pembahagian itu, ‘abang besar’ iaitu parti Warisan Sabah mengambil 45 dari 60 kerusi DUN untuk bertanding.

Kata beliau, selebihnya dapat kepada PKR sebanyak lapan kerusi, DAP tujuh kerusi dan parti Amanah tidak diberikan walau satu kerusi pun sedangkan parti itu merupakan salah satu komponen PH.

Jelas beliau, PH tidak perlu membuat kenyataan berbaur propaganda untuk melemahkan Perikatan Nasional (PN) dengan menyatakan, kononnya akan berlaku ketidakadilan dalam pembahagian kerusi di kalangan rakan gabungan PN nanti.

“Sebaliknya, PH perlu melihat sendiri krisis pembahagian kerusi sesama mereka ketika PRU-14 sebelum ini, yang langsung tidak adil dan lebih separuh dimonopoli oleh parti Warisan.

“PKR dan DAP hanya mengambil lebihan dari parti Warisan sahaja iaitu 15 kerusi yang kemudian dibahagi lapan dan tujuh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr. Kamarul Zaman berkata, ketidakadilan pembahagian kerusi itu telah disuarakan Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Che Ab. Razab menerusi kenyataannya yang mengharapkan, agihan kerusi sesama komponen pembangkang (PH) perlu dibuat secara saksama dengan mengutamakan semangat setiakawan.

Beliau dilaporkan berkata, sewajarnya tiada parti yang boleh dianggap dominan untuk menguasai lebih banyak kerusi.

“Hakikatnya, tidak semuanya berjalan lancar antara parti Warisan dan PH untuk menghadapi PRN Sabah dan kenyataan Ahmad Syukri itu amat munasabah bila dilihat dalam PRU14, agihan kerusi antara parti Warisan dan PH di Sabah adalah 45 untuk Warisan, lapan (PKR), tujuh (DAP) dan Amanah tidak ada kerusi.

“Ini jelas ‘abang besar’ berlaku dalam PH Sabah,” katanya yang merujuk kebanyakan portal berita ketika ini memberikan fokus kepada pertikaian yang dikatakan berlaku antara parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO dalam pengagihan kerusi untuk PRN Sabah.

Kata beliau, portal propembangkang itu langsung tidak membincangkan kedudukan parti Warisan dan PH Sabah.

Dr Kamarul Zaman Yusof

Soal Dr. Kamarul Zaman, saksamakah apabila hanya satu parti membolot hampir semua kerusi yang dipertandingkan dan bila satu lagi parti dalam PH langsung tidak diberikan sebarang kerusi?

Apatah lagi katanya, apabila keputusan PRU-14 lalu menunjukkan parti Warisan hanya mampu menang 21 dari 45 kerusi yang ditandingi.

“Dari 21 kerusi itu pula, lapan kerusi hanya dimenangi dengan majoriti tipis iaitu DUN Petagas, Kunak, Melalap, Banggi, Gum-Gum, Sindumin, Bongawan dan Kemabong.

“Sebab itu, sangat kelakar bunyinya bila pemimpin Warisan dan PH memperkatakan mengenai gejala “abang besar” dalam PN, bila dalam gabungan mereka sendiri pun gejala ‘abang besar’ ini jelas tertonjol.

“Kalau mengikut kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, PH bersetuju parti Amanah mengambil dua kerusi Parlimen, dua DUN (di Sabah dalam PRU-14) tetapi hakikatnya, Amanah tidak diberi satu kerusi pun,” ujarnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Prof ‘gila saman’ …parti2 berpusat di malaya tak perlu nak besar kepala di sabah..jgn jual doktrin ‘ketuanan melayu islam’ di borneo.

Comments are closed.