Setiap agensi kerajaan dicadangkan untuk menyediakan perjawatan jurubahasa isyarat bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran ketika berurusan di agensi kerajaan.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Setiap agensi kerajaan dicadangkan untuk menyediakan perjawatan jurubahasa isyarat bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran ketika berurusan di agensi kerajaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sebagai permulaan, pihaknya berharap agar kerajaan mempertimbangkan cadangan itu dengan sekurang-kurangnya satu jawatan jurubahasa isyarat diwujudkan.

“Usaha ini akan menjadi dorongan untuk mencapai dasar satu peratus OKU dalam sektor awam dan mengurangkan masalah komunikasi (melibatkan OKU pendengaran),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Alor Setar-PH), Chan Ming Kai mengenai kesediaan kementerian menambah peruntukan bagi geran kepada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dan menempatkan lebih ramai jurubahasa isyarat untuk urusan rasmi.

Sementara itu ketika menjelaskan mengenai geran yang disalurkan kepada MDF Siti Zailah berkata, sebanyak RM2 juta telah diberikan kepada NGO itu, bagi tempoh 2014 hingga 2019.

Katanya, dana itu termasuk geran pentadbiran dan sagu hati kepada sukarelawan jurubahasa.

Sementara itu Kementerian Pendidikan merancang untuk melaksanakan pengambilan guru pendidikan khas secara kontrak pada tahun 2021 sekiranya terdapat keperluan.

Timbalan Menterinya Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ia antara usaha KPM terhadap Murid Berkeperluan Khas (MPK) termasuk menyediakan guru pendidikan khas yang berkualiti dengan jumlah mencukupi.

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang meminta KPM menyatakan jumlah murid berkeperluan khas, jumlah guru pendidikan khas dan rancangan untuk menambah bilangan guru pendidikan khas. – MalaysiaGazette