Deputi Komisioner, Mior Faridalatrash Wahid.

KUALA LUMPUR – Bukit Aman hari ini mengesahkan mengenai satu serbuan telah dilakukan di pejabat media antarabangsa Al Jazeera di ibu negara berkaitan dokumentari Locked Up In Malaysia’s Lockdown oleh pihak tersebut.

Serbuan itu dilaksanakan oleh Pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pagi tadi difahamkan selepas menerima waran geledah premis itu daripada pejabat Peguam Negara.

Difahamkan penggeledahan itu dilakukan bagi tujuan mendapatkan dokumen, rakaman atau sebarang bahan yang boleh membantu siasatan kes tersebut.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Undang-Undang Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan pelaksanaan serbuan itu kepada MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Rayhan Kabir mohon maaf pada rakyat Malaysia

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai sebarang rampasan atau sitaan barang dari pejabat media berkenaan yang berpengkalan di Qatar.

Artikel berkaitan: Siasatan Al Jazeera atas arahan AG kerana wujud unsur hasutan

“Ya saya sahkan serbuan ke atas pejabat AlJazeera dibuat oleh Pasukan USJT bersama pasukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekitar jam 11.30 pagi tadi.

“Tunggu untuk butiran lanjut serbuan pejabat Al-Jazeera itu yang akan dikeluarkan oleh Pengarah JSJ, Komisioner Datuk Huzir Mohamed menerusi kenyataan rasmi sebentar lagi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Pada 10 Julai lalu tujuh kakitangan termasuk editor, wartawan, serta jurukamera stesen penyiaran media asing itu  yang terlibat dalam penerbitan dokumentari kontroversi itu telah dipanggil ke ibu pejabat Bukit Aman sebelum dirakam keterangan oleh USJT D5.

Siasatan dijalankan ke atas mereka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita berbaur fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.-MalaysiaGazette