Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menekankan betapa pentingnya penjarakan selamat diamalkan oleh rakyat negara ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Bercakap menerusi rancangan bualan TV1, beliau berkata, penjarakan fizikal merupakan satu kaedah atau cara untuk menyekat dan mengekang penularan Covid-19 di kalangan masyarakat apabila diarahkan supaya 3S itu dilarang iaitu “Sempit, Sesak dan Sembang Dekat”.

Katanya, apabila dilarang Sembang Dekat, ianya mempunyai definisi yang dekat dengan norma baharu iaitu perlu ada penjarakan selamat untuk mengelakkan titisan dari tubuh mereka yang dijangkiti Covid-19 itu dari merebak kepada mangsa lain.

“Penjarakan selamat atau penjarakan fizikal ini adalah salah satu strategi untuk halang penularan Covid-19 di negara ini. Jarak selamat di negara ini adalah dalam jarak 1 meter. Strategi lain adalah dengan menjaga dengan ketat pintu-pintu sempadan negara ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kes Covid-19 yang turun naik di negara ini dan apakah iktibar yang boleh diambil oleh rakyat Malaysia, beliau menyatakan, setiap dari mereka perlu memperingatkan antara satu sama lain bahawa negara ini belum berada dalam kumpulan yang selamat.

Kata beliau, kerajaan telah mewajibkan penggunaan pelitup muka mulai 1 Ogos lalu untuk pengunaan di tempat awam dan merayu kepada rakyat agar terus mematuhi pada saranan yang diberikan.

Mengenai status Sivagangga, Dr. Adham menjelaskan, kluster itu melibatkan dua daerah iaitu Kubang Pasu dan Padang Terap di Kedah.

“Ini merupakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) yang dilaksanakan di Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Kita gelarkan sebagai Targeted MCO, bukan Enhance atau Diperketatkan. Jadi Targeted MCO ini melibatkan satu arahan di mana beberapa kaedah untuk mengelak penularan Covid-19 itu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, PKP Bersasar itu akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan hanya seorang ketua isi rumah yang dibenarkan keluar dari kediaman, manakala ada sekolah ditutup dan semua murid akan disaring. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast