Datuk Ruhaidini Kadiri bersama Zulkifli Bujang dan Normazalina Mohd Nor di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Dua setiausaha akhbar (SUA) dan seorang setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada menteri dan timbalan menteri antara yang dipanggil ke Bukit Aman hari ini bagi membantu siasatan kes laporan dokumentari Al-Jazeera.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertahanan, Datuk Ruhaidini Abdul Kadir ketika ditemui wartawan MalaysiaGazette di luar pekarangan Bukit Aman memberitahu, pihaknya diminta memberi keterangan berhubung tindakan media antarbangsa itu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Jelasnya, pihaknya tidak pernah mendapat sebarang permohonan daripada Al-Jazeera sebelum mereka membuat atau menyiarkan laporan dokumentari itu yang memberi gambaran bahawa Malaysia mengamalkan diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika negara menangani Covid-19.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) cuma ambil keterangan daripada kami mengenai Al-Jazeera. Pihak Bukit Aman ambil keterangan hari ini hanyalah proses biasa.

“Al-Jazeera tidak pernah membuat permohonan sama ada untuk temubual atau mendapatkan maklumat daripada Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sehinggalah mereka keluarkan dokumentari itu.

“Selepas itu barulah mereka buat permohonan temubual tapi sebab dokumentari sudah dikeluarkan, jadi Datuk Seri Ismail Sabri buat keputusan untuk tidak komen apa-apa kepada Al-Jazeera,” katanya.

Selain Ruhaidini, turut dipanggil ke Bukit Aman ialah SUA kepada Menteri Dalam Negeri, Zulkifli Bujang dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Normazalina Mohd Nor.

Mereka yang tiba di Bukit Aman pada jam 2 petang bagaimanapun meninggalkan pekarangan ibu pejabat polis itu kira-kira 3.30 petang tadi.

Semalam, pihak polis menyerbu pejabat agensi berita antarabangsa Al-Jazeera di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung laporan dokumentari agensi berita berkenaan.

Difahamkan serbuan 11.30 pagi tadi dilakukan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia Malaysia (SKMM).

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan serbuan berkenaan.

Pada 3 Julai lalu, dokumentari Al Jazeera bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown berdurasi 20 minit 50 saat mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia mengendalikan langkah menangani pandemik Covid-19.

Susulan penyiaran yang didakwa berat sebelah dan tidak adil, polis memulakan siasatan terhadap Al Jazeera malah Ismail Sabri sendiri mencabar media antarabangsa itu menunjukkan bukti dakwaan berkenaan.

Pada 24 Julai lalu, individu yang ditemubual Al Jazeera berkenaan iaitu warga Bangladesh dikenali sebagai Md Rayhan Kabir ditahan ketika bersembunyi di kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, Ruhaidini juga turut mengesahkan kepada Bukit Aman bahawa segala maklumat yang disiarkan dalam dokumentari kontroversi itu tidak benar dan tidak berasas.

“Antara soalan tadi adalah mengenai fakta yang disiarkan dalam dokumentari berkenaan. Kita dapati memang banyak fakta salah, tidak tepat dan menggambarkan seolah-olah Malaysia menindas rakyat asing,” katanya.

Zulkifli Bujang
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Dalam Negeri, Zulkifli Bujang bercakap kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan Bukit Aman, petang tadi.

Sementara itu, Zulkifli yang turut ditemui memberitahu pihaknya dipanggil ke Bukit Aman kerana mereka terlibat dalam semua operasi berkenaan Covid-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hari ini, pihak Bukit Aman panggil untuk beri sedikit keterangan berkaitan dengan kes laporan dokumentari Al-Jazeera ini. Jadi kita hanya beri kerjasama apa yang sewajarnya.

“Kita pun terlibat dalam operasi Covid-19, jadi sama ada tepat laporan yang mereka buat itu juga membabitkan kita punya maklumat yang perlu diberikan dari segi mendapat kebenaran daripada KDN (Kementerian Dalam Negeri) sebelum membuat siaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette