Asap tebal menyelubungi kawasan pelabuhan di kota Lubnan, foto Agensi

BEIRUT – Letupan besar berlaku di pelabuhan gudang di tengah Beirut yang menyimpan bahan letupan mengorbankan 78 orang dan mencederakan hampir 4,000 orang serta mengakibatkan bangunan-bangunan yang terletak hampir 10 kilometer turut musnah.

Kejadian itu disifatkan sebagai satu tragedi dahsyat yang mengerikan.

Setiausaha Agung Parti Kataeb, Nazar Najarian dilaporkan antara mangsa yang terbunuh.

Jumlah kematian dijangka melonjak memandangkan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa-mangsa di bawah runtuhan sedang giat dijalankan.

Presidennya, Michel Aoun berkata, sebanyak 2,750 tan nitrat ammonium disimpan di dalam gudang itu sejak enam tahun lalu tanpa langkah-langkah keselamatan memang tidak boleh diterima.

Setakat berita ini ditulis pihak berkuasa masih belum mengetahui punca letupan.

Tetapi letupan yang berlaku itu dapat dirasai beratus-ratus kilometer sehingga di Cyprus.

Keadaan sekitar lokasi letupan di pelabuhan yang terletak di kota Lubnan. foto Agensi

 

Susulan letupan itu, Aoun memanggil mesyuarat kecemasan Kabinet dan memaklumkan akan mengisytiharkan darurat selama dua minggu.

“Apa yang kita saksikan adalah malapetaka besar. Mangsa dan orang yang maut berada di mana-mana,” kata Ketua Palang Merah Lubnan George Kettani.

Letupan yang berlaku itu sangat besar sehingga beberapa penduduk di bandar ini menggambarkannya seperti situasi perang saudara yang berlaku pada tahun 1975 hingga 1990.

Malah, ada penduduk yang menyangka berlaku gempa bumi.

Keadaan di lokasi amat menyedihkan dan kebanyakan orang masih kebingungan – ada yang menangis, berjalan dalam keadaan cedera dan ada juga yang mencari keluarga mereka.

Beberapa jam selepas letupan, yang berlaku sejurus selepas jam 6 petang (1500 GMT), api masih menyala di daerah pelabuhan, memancarkan cahaya oren di langit malam ketika helikopter melayang dan siren ambulans terdengar di seluruh ibu kota.

Sumber keselamatan berkata, mangsa-mangsa dibawa di luar bandar itu kerana hospital-hospital di Beirut sudah padat.

Ambulans dari utara dan selatan negara dan dari Lembah Bekaa ke timur juga dipanggil untuk memberi bantuan.

Perdana Menteri, Hassan Diab pula memberi amaran bahawa pihak yang tidak bertanggungjawab akan menanggung tragedi tersebut. – MalaysiaGazette