Datuk Seri Ahmad Hamzah foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Bekalan makanan di negara ini sentiasa mencukupi dengan pembekalan barang makanan import juga tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, mengikut data kementeriannya, terdapat pengurangan import bagi daging lembu, kerbau, kambing, bebiri, keratan ayam dan daging babi pada bulan April dan Mei.

Antara empat produk pertanian tersebut kata beliau, pengimportan daging lembu dan kerbau mencatatkan penurunan paling ketara iaitu sebanyak 72 peratus pada bulan April berbanding Mac lalu.

“Walau bagaimanapun, pengurangan import ini tidak menjejaskan bekalan daging lembu, kerbau negara disebabkan permintaan rendah sepanjang PKP kerana penutupan premis hotel, restoran, kedai makan dan majlis keraian yang tidak dibenarkan.

“Selain itu, pengimportan daging lembu, kerbau pada tiga bulan pertama tahun 2020 berupaya menampung bekalan sepanjang PKP termasuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan dan Syawal.

“Hal ini secara tidak langsung telah menstabilkan bekalan dan harga untuk tempoh enam bulan pertama tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (Kangar-PH), Noor Amin Ahmad yang meminta kerajaan menyatakan senarai barang makanan import yang terjejas semasa PKP dan apakah kesan dari segi jumlah bekalan dan harga jualannya.

Ahmad menambah, kementeriannya juga sentiasa memantau bekalan makanan secara harian dan turut melaporkan jumlah bekalan makanan harian kepada Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac lalu.

Ujarnya, kementerian dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut memantau harga sepanjang tempoh PKP dan didapati harga barang makanan utama adalah terkawal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast