Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Kadar pengedaran mata wang palsu di negara ini masih lagi berada pada tahap rendah, berbanding di beberapa negara jiran lain.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah menjelaskan, mata wang negara dilengkapi antara 10 hingga 15 ciri-ciri keselamatan bagi menangani risiko pemalsuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, berdasarkan perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM), kadar pemalsuan mata wang yang dikesan adalah 1.4 helai bagi setiap juta (ppm) pada 2006 dan 1.2 helai (2009), manakala separuh pertama tahun ini ialah 1.0.

“Sekiranya wujud aduan mengenai edaran mata wang palsu, ia boleh dikemukakan kepada BNM untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikia pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Jelebu-BN), Datuk Jalaluddin Alias mengenai kegiatan pengedaran mata wang palsu yang didakwa semakin meruncing di Malaysia, selain langkah BNM untuk mengekang kegiatan berkenaan.

Ini kerana kata Jalaluddin, beliau turut menjadi mangsa apabila menerima wang palsu.

Katanya, wang palsu itu diterima selepas mendapat pulangan baki daripada peniaga di sebuah pasar malam, minggu lalu.

Mohd Shahar turut meminta Jalaluddin mengemukakan perkara berbangkit kepada beliau dan akan meminta Bank Negara untuk menyiasat. – MalaysiaGazette