Shabudin Yahaya

KUALA LUMPUR – Rakyat diminta menyantuni undang-undang agar mereka tidak terjebak dengan perbuatan yang salah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya berkata, rakyat perlu sentiasa mendapatkan maklumat-maklumat semasa yang tepat kerana ia dapat memandu mereka ke arah gaya hidup yang sihat.

“Berbanding jika kita menyalahgunakan maklumat dengan mendapat akses yang salah ia akan menyebabkan seseorang itu cenderung melakukan perbuatan yang negatif.

“Dengan itu ia akan menyebabkan berlakunya pelanggaran dari segi undang-undang dengan tidak mendapat maksud yang diinginkan ekoran landasan maklumat yang tidak betul.

“Malah, paling mengecewakan nanti apabila mereka dipersalah dihukum atau didenda akibat menyalahgunakan maklumat.

“Oleh sebab itu rakyat perlu sentiasa mendapat perkembangan maklumat dan yang paling penting ia mestilah sahih,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu Shabudin berkata, orang ramai juga diminta agar tidak menyebarkan maklumat separuh masak apatah lagi jika ia boleh menyebabkan fitnah dan sebagainya.

Justeru, jika semua pihak boleh menghormati perkara itu undang-undang akan tertegak dan rakyat pasti akan dapat hidup dengan sejahtera. – MalaysiaGazette