KUALA LUMPUR – Garis panduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini di Pahang pada 4 Julai lalu akan digunapakai pada PRK Slim di Perak bermula pada hari penamaan calon 15 Ogos ini, dengan beberapa penambahbaikan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu mendapat persetujuan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP semalam, setelah meneliti cadangan garis panduan itu.
Jelas beliau, antara garis panduan yang dipersetujui ialah Bilik Gerakan Parti dan Bilik Gerakan Kecil dibenarkan dibuka sepanjang tempoh pilihan raya, termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun, katanya, bilik gerakan itu perlu didaftarkan dengan SPR terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemantauan.
“Kempen dan ceramah hanya dibenarkan dilaksanakan di kawasan tertutup atau di kawasan berpagar sahaja bagi memudahkan proses pemantauan dan pemeriksaan suhu badan.
“Jumlah kehadiran pula perlu mengikut keluasan kawasan dengan penjarakan fizikal, tidak boleh melebihi 250 individu pada satu-satu masa.
“Pemakaian pelitup muka juga diwajibkan,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Kata Ismail Sabri, waktu untuk keluar mengundi digalakkan mengikut ketetapan SPR, supaya dapat mengelakkan berlaku kesesakan di pusat mengundi.
Bagaimanapun, jelasnya, syarat itu tidak diwajibkan.
Kata beliau, SPR akan mengadakan perbincangan dengan wakil parti politik yang bertanding mengenai garis panduan PRK itu, yang memerlukan penilaian berdasarkan situasi semasa.
“SOP yang ditetapkan untuk PRK ini adalah berdasarkan Akta 342, di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan ini bagi mencegah penyebaran jangkitan wabak Covid-19 ketika PRK berjalan.
“Namun, peraturan di bawah Akta-Akta SPR masih digunapakai semasa PRK Slim berjalan,” katanya.
Mengenai penganjuran Malaysia Agriculture Horticulture & Agrotourism (MAHA) 2020, beliau turut menyatakan Mesyuarat Khas juga bersetuju secara dasarnya cadangan penganjuran itu yang dijadualkan pada 26 hingga 29 November ini.
Katanya, program itu akan diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan maya, yang mana pihak Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) akan menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi bagi tujuan penganjuran.
“Antara garis panduan itu, hanya peserta yang diberi kad jemputan sahaja dibenarkan masuk dan kehadiran mereka perlu direkodkan.
“Manakala peserta antarabangsa hanya dibenarkan terlibat secara atas talian. Namun, SOP perancangan dan pelaksanaan akan diperhalusi serta dibincangkan lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal,” katanya. – MalaysiaGazette