KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim hari ini menyahut cabaran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof untuk berdebat berhubung penyelewengan dana TH.
Ahli Parlimen Baling itu mencadangkan 14 Ogos ini iaitu Jumaat depan untuk program itu sekiranya dipersetujui oleh Ahli Parlimen Parit Buntar.
Beliau bagaimanapun memohon kepada pihak penganjur agar menukar program debat itu kepada muzakarah.
Kata Abdul Azeez, beliau tidak mungkin merasa gembira dan ghairah untuk program itu kerana sentiasa ingat pada hadis Rasulullah SAW, bermaksud; “Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat”.
“Namun, ketika saya membahaskan di Parlimen beberapa isu berkaitan pengurusan Tabung Haji yang pada pendapat saya perlu dimaklumkan kepada umum, saya percaya ianya telah mendorong Dr. Mujahid untuk mempelawa saya berdebat.
“Umum tahu, tiadanya pendakwaan melibatkan penyelewengan TH tetapi naratif itu tidak pernah dihentikan oleh orang ramai akibat dan kesan daripada fitnah yang ditaburkan ke atas kami semua,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Baru-baru ini, Mujahid mencabar Abdul Azeez berdebat dalam hal berkaitan institusi kewangan yang menguruskan dana TH di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu juga tiada masalah untuk menjemput Ketua UMNO Bahagian Baling itu untuk membentangkan segala fakta dan dakwaan dalam perdebatan itu nanti.
Abdul Azeez bagaimanapun menyarankan kepada Mujahid agar pada program muzakarah itu nanti, masing-masing mengeluarkan pendapat secara ilmiah untuk dikongsikan ilmu tersebut kepada orang ramai.
Beliau juga meminta Mujahid berhenti mengaib dan menghinanya termasuk bekas menteri dan pengurusan tertinggi TH sebagaimana sebelum ini.
“Malah, baru-baru ini pun kata-kata yang mengaibkan telah dikeluarkan dengan sengaja oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, sedangkan dia melaungkan konsep “Rahmatan Lil Alamin”.
“Dr. Mujahid pula jangan risau, kami tidak mungkin akan menghina, memalukan dan mengaibkan beliau sebagaimana nasib yang menimpa kami,” katanya. – MalaysiaGazette